Malaysia dan Republik Tatarstan bersedia untuk memperluaskan kerjasama dua hala terutama dalam sektor perdagangan, pelaburan, pendidikan, perlancongan, industri halal, teknologi dan pembangunan bakat.
Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi perkongsian di platform Facebook mengenai pertemuan beliau dengan Ketua Republik Tatarstan, Rustam Minnikhanov sebaik tiba di Kazan, Rusia.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin terbabit mengadakan perbincangan untuk bertukar pandangan mengenai hubungan serta peluang kerjasama yang boleh diteroka demi manfaat kedua-dua belah pihak.
Anwar yang juga Menteri Kewangan itu menjelaskan bahawa kerjasama strategik dalam sektor tenaga turut menjadi fokus utama perbincangan berikutan Tatarstan merupakan antara wilayah pengeluar minyak utama di Persekutuan Rusia.
“Kami melihat ruang kerjasama yang luas dalam industri minyak dan gas, termasuk aktiviti hiliran, penapisan serta petrokimia. Kami menyentuh peranan KazanForum dalam memperkukuh hubungan perniagaan, selain membuka peluang baharu dalam bidang inovasi, ekonomi digital dan pelaburan strategik.
“Saya turut rakamkan ucapan tahniah kepada Kazan atas pengiktirafannya sebagai Bandar Kebudayaan Dunia Islam 2026 oleh ICESCO, yang mencerminkan peranannya sebagai pusat keilmuan Islam, kebudayaan dan inovasi,” kata pemimpin nombor satu negara itu dalam perkongsian tersebut.
Pada masa yang sama, Anwar turut mengambil kesempatan dalam pertemuan berkenaan untuk merakamkan penghargaan di atas visi Presiden Rusia, Vladimir Putin dalam mewujudkan Strategic Vision Group (SVG).
Hal ini kerana beliau menyifatkan insiatif SVG itu berjaya memainkan peranan sebagai jambatan penting antara Rusia dan dunia Islam dalam memperkukuhkan dialog serta kerjasama yang lebih bermakna.
“Semoga pertemuan ini terus mempererat hubungan Malaysia dan Tatarstan serta membuka lebih banyak peluang kerjasama yang memberi manfaat nyata kepada rakyat dan ekonomi kedua-dua pihak.” Ujarnya lagi.

Sekadar info, Anwar mengadakan kunjungan kerja rasmi ke Kazan selama dua hari untuk menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Russia yang berlangsung dari 17 sehingga 18 Jun ini.
Persidangan tersebut dijangka akan memperkukuhkan kerjasama ASEAN-Rusia dalam mendepani ketidaktentuan global serta menjana manfaat ekonomi yang lebih besar kepada Malaysia.
Baca juga: Pengarah, bekas pengarah dicekup SPRM, projek kerajaan didakwa ‘dijual’ pada kontraktor kroni