Siapa dipilih mengisi Kabinet ‘Keluarga Malaysia’?

Oleh ARIF ATAN

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob telah mendapat publisiti percuma besar-besaran apabila gambarnya bersenang-senang dengan kemewahan jawatan tular di media sosial kelmarin.

Jadi, sekarang kita tengok apa pula tindak-tanduknya dalam penubuhan Kabinet. Adakah dia akan menubuhkan Kabinet untuk berkhidmat kepada “Keluarga Malaysia” atau untuk mengukuhkan kedudukannya dan Umno.

Namun, begitu keabsahan dia dan Kabinetnya tetap akan dipertikaikan selagi tidak diundi di Dewan Rakyat.

Hatta Yang di-Pertuan Agong yang melantik dan menerima sumpah jawatannya pun mahu undi percaya segera diadakan di Parlimen. Itu adalah langkah yang tepat dan bijaksana kerana Baginda tidak boleh atau tidak mahu berseorangan memikul beban melantiknya menjadi Perdana Menteri.

Setelah gagal mempertahankan rampasan kuasanya 17 bulan lalu, bekas Perdana Menteri Mahiaddin Md Yasin terpaksa menelan jadam dan mengaku yang kuasa penerajuan kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah bertukar tangan daripada Bersatu yang menang pilihan raya umum 2018 bersama-sama Pakatan Harapan (PH) kepada Umno yang kalah.

Jelas, mainan politik Mahiaddin, Hamzah Zainuddin dan Azmin Ali tidak sehebat mainan politik kluster mahkamah dan kleptokrat Umno!

Biawak hidup

Namun, rasanya majoriti ahli Umno yang baik-baik tidak mahu kelompok kleptokrat dan mahkamah kembali berperanan dan berkuasa dalam parti mahupun kerajaan kerana mereka ini sudah menjadi beban. Bak kata simpulan bahasa, umpama menggalas biawak hidup.

Kalau ketika Umno berkuasa pun, kelompok ini sudah menjadi beban sehingga parti itu kalah setelah lebih 60 tahun memerintah, apatah lagi sekarang apabila ramai di antara mereka sedang dibicarakan, sudah didapati bersalah atau dalam rayuan.

Lagi pun usia mereka sudah cukup lanjut untuk dibersarakan supaya pemimpin yang lebih muda boleh mengambil alih.

Pilihan terbaik dan termudah bagi Ismail Sabri adalah mengenepikan mereka dalam lantikan Kabinet. Lagi pun “bossku” Mohd Najib Abdul Razak sendiri telah mengatakan yang dia mahu membersihkan namanya di mahkamah.

Ismail Sabri boleh membantu mereka dengan meluangkan seluas-luasnya masa agar mereka boleh menumpukan sepenuh tenaga kepada perbicaraan mereka.

Kemudian, ambillah maklum kejelikan rakyat jelata dengan rasuah dan keruntuhan moral dalam kalangan ahli politik.

Minta bantuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Polis Diraja Malaysia membuat saringan terperinci. Yang ada kes rasuah, raba sana raba sini, video sana, video sini tidak payahlah dilantik.

Hatta Raja-raja Melayu pun sudah bersuara. Sultan Nazrin Shah Perak yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong Januari lalu bertitah agar tidak diberikan amanah kepada mereka yang lemah moral dan terpalit dengan rasuah, salah guna kuasa dan tidak amanah.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pula bertitah tidak ada tempat bagi pemimpin rasuah di Selangor. Lagi pun kerajaan sendiri ada pengawas dan penyelia moral dalam bentuk Parti Islam Se Malaysia (Pas).

Berkenaan Sarawak dan Sabah, tidak perlulah “mengemis” jawatan Timbalan Perdana Menteri khas kerana kalau kedua-dua buah negeri ini bersatu hati menggemblengkan autonomi serta kerusi Dewan Rakyat mereka, bukan saja jawatan TPM khas boleh menjadi milik mereka malah jawatan PM pun bukan mustahil.

Maaf, cakaplah kalau saya kata, semangat kenegerian yang melampau merugikan mereka.

Elok jugalah Ismail Sabri dari awal-awal lagi menolak kerajaan perpaduan dengan pembangkang.

Dengan itu tidaklah terjadi pecah belah dalam kalangan pembangkang macam terjadi kepada PN apabila kluster mahkamah dan kleptokrat menarik balik sokongan terhadap Mahiaddin.

Apatah lagi, Ismail Sabri telah dititahkan supaya membuat undi percaya di Parlimen dengan secepat mungkin.