Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu bahawa pertemuannya bersama perdana menteri pada Rabu lalu adalah atas keperluan mendesak untuk meredakan suhu politik yang terlalu hangat.
Menjawab persoalan tentang peranannya yang diperdebatkan akan berubah, Anwar menjelaskan beliau tetap mengetuai pembangkang di Parlimen dan masih membawa peranan sebagai pembangkang yang meneliti tindak tanduk kerajaan.
Namun menurutnya, peta politik negara perlu berubah kerana apabila pembangkang dianggap musuh ketat, ia mampu menimbulkan pergeseran dan permusuhan peribadi yang tidak berkesudahan.
“Kami memilih untuk menerima undangan PM mengadakan perbincangan kerana kita tahu bahawa negara sedang menghadapi satu malapetaka wabak Covid-19 yang nampaknya belum ada kesudahan dan belum ada satu pendekatan yang mampu meredakan permasalahan ini.
“Kebetulan dalam pertemuan ketua-ketua parti politik dengan Yang di-Pertuan Agong, semangat sama disampaikan baginda dan tuanku Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang bertitah agar kurangkan perbalahan dan cari jalan (keluar).
“Kalau ada kesediaan dari Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk berbincang, apa salahnya. Kebetulan perbincangan itu berlaku dalam suasana sangat baik. Kita sepakati berkenaan hal Covid-19 kerana kita merasakan perlu ada pendekatan baru yang lebih berkesan,” katanya dalam satu video di Facebooknya malam tadi.
Pada masa sama Anwar menegaskan bahawa perbincangan PH dengan Ismail Sabri sama sekali tidak membabitkan apa-apa rundingan berkaitan jawatan mahupun kedudukan.
Sebaliknya rundingan mereka menekankan tentang Covid-19 dan permasalahan rakyat serta pemilihan Kabinet yang lebih kompeten.
“Kita bukan berdepan dengan kerajaan yang mana majoritinya hilang. Dia masih ada majoriti kecil, tetapi memerlukan satu kerjasama supaya menjamin tidak ada keluh kesah dan kerisauan meneruskan undang-undang.
“Saya tidak minta jawatan di situ, bukan ada rundingan kedudukan. Rundingan itu pertama soal Covid-19, kedua soal ekonomi rakyat.
“Dan sekiranya perkara ini dapat disepakati maka kita boleh beri jaminan kerajaan itu akan agak stabil dan kita suarakan jangan ambil tokoh yang nyata prestasinya sangat lemah,” ujarnya.