Khairy perlu pastikan hotel Primula milik kerajaan Terengganu didenda

Oleh KIM SYAZIE

Pengerusi AMANAH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah mendesak Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin untuk mengambil tindakan tegas terhadap Hotel Primula yang telah mencetuskan kluster Primula ketika ini.

Beliau berkata, Khairy perlu bersikap tegas dan adil untuk memastikan denda dan hukuman setimpal dikenakan terhadap hotel milik kerajaan negeri Terengganu itu.

Beliau mempersoalkan mengapa sehingga hari ini masih tiada lagi hukuman mahupun denda dikenakan kepada pengurusan hotel berkenaan sedangkan insiden di Hotel Primula telah melibatkan sekurang-kurangnya 35 kes positif tidak termasuk tiga keluarga di rumah.

“Tidak berapa lama dahulu beberapa rider FoodPanda di Terengganu telah disaman ribuan ringgit kerana makan pada waktu rehat tanpa penjarakan fizikal. Bagaimana pula saman denda terhadap hotel jutaan ringgit milik kerajaan negeri?

“Isu Hotel Primula melibatkan sekurang-kurangnya 35 kes positif tidak termasuk tiga keluarga di rumah dan kenapa selepas 10 hari masih tiada hukuman denda dikenakan sebagai contoh seriusnya penguatkuasaan SOP kerajaan mengatasi Covid-19?

“Rakyat menaruh harapan tinggi kepada Khairy akan membetulkan persepsi ini dan membuktikan keseriusan kerajaan mengatasi Covid-19 demi negara tercinta menjelang hari Malaysia ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Kamarul memetik kenyataan pakar penyakit berjangkit, Dr Adeeba yang mengingatkan bahawa jika kerajaan bersikap lemah dalam mengenakan denda hukuman dua darjat, rakyat tidak akan mengambil serius prosedur operasi standard (SOP) dan masalah Covid-19 akan lebih sukar diatasi.

Kamarul menambah, rakyat menganggap ketidakseriusan kerajaan bertindak menyebabkan kebelakangan ini tahap Covid-19 di Terengganu telah meningkat sekitar 900 jangkitan berbanding sekitar 100 kes sahaja dahulu.