Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Mohd Shamsul Iskandar Md Akin berkata, Kabinet yang akan bermesyuarat esok diharap dapat melihat kembali keputusan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka yang disifatkan tergesa-gesa.
Menurutnya, terdapat beberapa peristiwa pertukaran Menteri Besar seperti Perak dan Kedah, serta pertukaran Perdana Menteri, yang tidak memerlukan pembubaran DUN atau Parlimen, sehingga menyebabkan pilihan raya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu berkata, PKR enggan menerima cadangan darurat tetapi pada masa sama menolak pilihan raya negeri (PRN) kerana ia membahayakan kesihatan rakyat, ekoran negeri itu masih dalam pemulihan daripada pandemik Covid-19.
“Kita tahu keadaan sekarang ini, amat tidak sesuai untuk mengadakan PRN dan PKR telah katakan dengan tegas, dari segi prinsip kita tidak setuju dengan PRN,” katanya kepada media di Petaling Jaya, malam tadi.
Turut bersama beliau ialah Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad; dan ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee.
Dalam masa sama, beliau menyifatkan saranan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya dibuat darurat sebagai cadangan separuh masak.
“Kita tahu darurat ini tentu akan beri kesukaran kepada rakyat Melaka sekarang ini (lebih-lebih lagi) kerana apabila pembubaran (DUN) itu berlaku, tidak ada lagi kerajaan, tidak ada lagi wakil rakyat.
“…Yang ada hanya hanyalah Ketua Menteri Caretaker (Datuk Seri Sulaiman Md Ali)… dan Belanjawan Negeri pun belum dibentangkan lagi,” jelasnya.
Sehubungan itu, Shamsul menyifatkan pelaksanaan darurat sudah tentu akan menyukarkan rakyat negeri tersebut.
“Dari segi prinsip, PKR dan Pakatan Harapan (PH) sentiasa konsisten tidak setuju dengan darurat ini,” tegasnya lagi.
Difahamkan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron yang juga ADUN Sungai Udang sepatutnya menyertai sidang media berkenaan, namun beliau tidak muncul.
Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran DUN Melaka penggal ke-14 pada 4 Oktober lalu daripada Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh setelah kerajaan negeri yang dipimpin Umno hilang majoriti dalam DUN.
Mengikut Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran DUN itu.