Rauf nafi dakwaan tolak Sulaiman jadi KM Melaka

Oleh ARIF ATAN

Ketua Umno Bahagian Masjid Tanah, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan pernah mengeluarkan kenyataan yang menolak pelantikan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri Melaka.

Dia yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kelmarin menyifatkan tindakan menyebarkan kenyataan palsu itu sebagai fitnah pihak tidak bertanggungjawab.

Pengerusi BN Melaka berkenaan juga menganggap dakwaan tersebut bertujuan memburukkan imej kepemimpinan Umno bahagian terbabit.

“Itu palsu, fake dan fitnah. Semalam, saya sudah menyatakan sokongan kepada Sulaiman sebagai Ketua Menteri Melaka menerusi sidang media.

‘Itu sudah jelas (menyokong pelantikan ketua menteri),” lapor BH hari ini.

Tular di media sosial sejak pagi tadi kenyataan yang menggunakan kepala surat Umno Bahagian Masjid Tanah bertajuk `Menolak Pencalonan Datuk Seri Sulaiman Md Ali Sebagai Ketua Menteri ke-13 Yang Baru’.

Antara kandungan kenyataan itu termasuk Umno bahagian tersebut terkilan tindakan tergesa-gesa pelantikan Sulaiman tanpa ada perbincangan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang memenangi PRN Melaka.

Turut dinyatakan dalam kenyataan itu, pelantikan Sulaiman itu didalangi oleh Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sehubungan itu, kenyataan itu menyebut Umno bahagian menolak pelantikan tersebut dan tidak teragak-agak mengusulkan kepada Ab Rauf untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap Sulaiman.

Ab Rauf Yusoh