Pemimpin perlu ada hati nurani untuk membantu rakyat terutama rakyat Sarawak yang bakal berhadapan dengan piolihan raya negeri akan datang ini, kata Ketua Pemuda AMANAH, Hasbie Muda.
“Apa guna kuasa dan elaun puluhan ribu kalau rakyat masih bergelut mencari sesuap nasi untuk bertahan hidup ke esok hari?” kata Hasbie dalam catatannya selepas membuat lawatan kerja melihat persiapam calon AMANAH di Semop.
Menurut beliau, kualiti hidup rakyat Sarawak sangat menyedihkan.
“Satu hal yang sangat menyentuh hati saya adalah taraf sosiokonomi di sesetengah tempat yang masih rendah walhal negara kita adalah negara yang kaya dengan hasil bumi.
“Sarawak sendiri adalah negeri paling kaya jika diukur pada hasil kerajaan negerinya,” katanya.
Beliau sempat bertanya beberapa orang yang tinggal di sebelah Pulau Bruit.
Kata mereka, purata pendapatan adalah sekitar RM500 ke RM1,000 sebulan sahaja. Ramai kerja nelayan dan sekarang hidup lebih sukar berdepan musim tengkujuh.
Ada anak kecil yang terpaksa membesar dengan nenek di kampung kerana ibubapanya bekerja di bandar dan pulang setahun sekali.
“Pilihan raya adalah pesta demokrasi tetapi ini juga sebenarnya ruang kita untuk lebih prihatin dengan nasib saudara-saudara kita di tempat lain,” katanya.
Menurut Hasbie, calon PH di Sarawak nampaknya lebih bersedia dengan jentera tempatan dalam pilihan raya ini.
“Selesai lawatan kerja ke N42 Semop bagi meninjau persiapan kempen jentera AMANAH di sana.
“Alhamdulillah kali ini saya dapati calon dan jentera tempatan jauh lebih bersedia. Mudah-mudahan Allah bantu untuk memenangkan Sdra Mohamad Fadillah Sabali yang konsisten bekerja di sini sejak 2015 lagi,” tulisnya beliau.