Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu kini berada di Uzbekistan dalam rangka kunjungan untuk memperkukuh kerjasama menerusi sektor pertanian, teknologi agromakanan, dan keterjaminan makanan.
Kerjasama strategik termasuk dari segi penyelidikan, inovasi baharu, penggunaan teknologi dan peluang pelaburan ini dapat membantu persediaan Malaysia dalam menghadapi perubahan iklim dan memastikan bekalan makanan mencukupi.
Berikut kami senaraikan antara kerjasama strategik diterokai oleh kedua-dua buah negara hasil daripada kunjungan rasmi tersebut berdasarkan perkembangan yang dikongsikan Ahli Parlimen Kota Raja itu di akaun Facebook miliknya.
- Kerjasama dalam Bidang Penyelidikan Padi
Lawatan Mohamad Sabu ke Rice Research Institute (RRI) di Tashkent bertujuan untuk meninjau perkembangan penyelidikan dan inovasi dalam industri padi turut membuka peluang kerjasama strategik dua hala.
Penggunaan teknologi dan inovasi dalam industri padi ini sangat penting untuk menghadapi cabaran perubahan iklim, kekangan sumber dan peningkatan permintaan makanan dalam menghadapi krisis bekalan global kelak.
Kerjasama erat antara institusi penyelidikan Malaysia dan Uzbekistan ini mampu memberi manfaat besar kepada petani dan membantu memperkukuh jaminan bekalan makanan dan kesejahteraan generasi akan datang di kedua-dua negara.
- Membentuk Kerjasama dengan Wilayah Penting di Rusia
Pertemuan bersama Gabenor Wilayah Samarkand, Adiz Boboev memberi laluan kepada kerjasama pelbagai bidang termasuk pelaburan pertanian, pemprosesan makanan, penyelidikan dan inovasi, agropelancongan serta pertukaran teknologi.
Samarkand adalah antara wilayah pertanian terpenting di Uzbekistan yang cukup terkenal dengan pengeluaran hortikultur dan buah-buahan berkualiti tinggi sekali gus boleh dijadikan contoh dalam memperkukuhkan sektor agromakanan negara.
Pertemuan dengan Gabenor Wilayah Fergana, Republik Uzbekistan iaitu Khayrullo Bozorov pula membuka ruang kerjasama usaha sama dalam bidang teknologi pertanian, pemprosesan agro-makanan, pengeluaran makanan, industri nilai tambah pertanian serta pembangunan modal insan.
Wilayah Fergana adalah antara kawasan pertanian terpenting di Uzbekistan yang terkenal dengan sektor hortikultur, penanaman buah-buahan serta pengeluaran makanan berasaskan pertanian yang memyumbang kepada ekonomi negara.
- Penyertaan Antarabangsa MAHA 2026
Kerajaan Uzbekistan dijemput secara rasmi untuk menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang akan berlangsung dari 28 Ogos sehingga 6 September di MAEPS, Serdang.
Pemeran tersebut dijangka akan menjadi medan utama pemindahan teknologi dan menarik potensi pelaburan global dalam sektor agromakanan sekali gus mengukuhkan ekonomi terutamanya bagi kedua-kedua buah negara ini.
Sekadar info, hubungan perdagangan antara Malaysia dengan Uzbekistan berjaya mencapai nilai perdagangan sebanyak RM338.48 juta setakat ini bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lalu.
Baca juga: ‘RM1.1 juta lesap, tinggal di kedai dengan 7 anak’ – Zul Yahya akhirnya buka mulut