Perbicaraan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi hari ini dilapangkan sehingga Jumaat, 10 Disember ini.
Keputusan itu dibuat ekoran status MySejahtera bekas penaung program Permata itu menunjukkan dia mempunyai kontak dengan pesakit Covid-19.
Sebelum itu, peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah, memberitahu mahkamah, anak guamnya hadir bagi mengikuti prosiding hari ini.
Namun, jelasnya, status terkini MySejahtera menyebabkan Rosmah, 69, tidak dibenarkan memasuki kawasan mahkamah.
Jagjit, berkata beliau dimaklumkan bahawa kod warna pada status MySejahtera Rosmah berwarna jingga manakala suaminya, Datuk Seri Najib Razak berwarna merah.
Bagaimanapun, ketika ditanya Hakim Mohamed Zaini Mazlan sama ada Najib positif Covid-19, Jagjit menyatakan beliau tidak pasti mengenai perkara itu, lapor BH.
Ketika kes disebut di hadapan hakim berkenaan, Rosmah sedang menunggu di dalam kereta di perkarangan kompleks mahkamah.
Hakim kemudian menangguhkan perbicaraan dan mengarahkan peguam itu memastikan Rosmah mengemas kini status MySejahteranya pada 10 Disember ini.
“Pada prosiding Jumaat ini, peguam tetap perlu hadir dan maklumkan kepada mahkamah.
“Jika statusnya berwarna biru, perbicaraan akan didengar seperti yang ditetapkan,” dipetik BH.
Rosmah yang merupakan isteri Datuk Seri Najib Razak dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.
Suapan berkaitan projek tenaga solar menerusi bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor itu sebagai balasan kerana membantu Jepak Holdings memperoleh Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel untuk 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan secara rundingan terus.
Ibu kepada empat anak termasuk hasil daripada perkahwinanny yang pertama itu dituduh melakukan kesalahan itu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra; di kediaman Rosmah di Jalan Langgak Duta, Taman Duta serta di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan September 2017.