Najib sepatutnya diarah segera bayar denda, hantar ke penjara jika gagal

Oleh KIM SYAZIE

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sepatutnya diarahkan oleh mahkamah untuk membayar denda dengan segera selepas beliau disabitkan bersalah dalam kes salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin berkata, jika Ahli Parlimen Pekan itu gagal melunaskan dendanya, beliau perlu dihantar terus ke penjara.

“Dengan hormatnya saya mempunyai beberapa keraguan apabila mahkamah rayuan gagal meminta Najib membayar denda itu.

“Selalunya, mahkamah tak benarkan penggantungan pelaksanaan hukum bagi hukuman denda (Stay of Execution on Fine).

“Pada pandangan saya, Najib sepatutnya diarahkan oleh mahkamah untuk membayar denda dengan segera. Jika gagal, dia terpaksa dihantar ke penjara,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Hari ini, Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Abdul Karim Abdul Jalil yang mengetuai panel tiga hakim membenarkan permohonan pihak pembelaan setelah mengekalkan hukuman yang dijatuhi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.

Hakim berkata sabitan kes turut ditangguhkan sementara menunggu proses rayuan di mahkamah lebih tinggi.

Abdul Karim berkata, syarat penangguhan hukuman sama seperti diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi iaitu jaminan RM2 juta dengan dua penjamin, dan perlu melapor diri ke balai polis berhampiran dua kali sebulan.