Jumlah penerima dos ketiga vaksin COVID-19 daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) sehingga 20 November lalu adalah seramai 231, 533 orang.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata demikian ketika menjawab pertanyaan mulut daripada Wong Siew Ki (PH-Balakong) hari ini.
Walau bagaimanapun, Amirudin berkata jumlah individu yang menerima dos ketiga vaksin melalui Program Vaksin Selangor (SelVAX) Booster belum dapat diperolehi memandangkan program vaksinasi anjuran kerajaan negeri itu baharu sahaja dimulakan semalam.
“SelVax telah dijalankan melalui beberapa kategori mengikut sasaran iaitu Selvax Komuniti, Selvax Industri, Selvax Mobile dan juga Selvax Remaja.
“Kini, susulan daripada kelulusan penggunaan vaksin Sinovac sebagai dos penggalak (booster dose) oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada 17 November 2021, Kerajaan Negeri telah memulakan Program SelVax Booster iaitu pemberian sebanyak 157,000 dos penggalak secara percuma bermula 8 Disember 2021,” jelasnya.
Beliau berkata, penduduk Selangor yang berumur 18 tahun ke atas dan telah menerima dua dos vaksin boleh mendapatkan dos penggalak dengan mengunjungi atau “walk-in” ke 16 buah klinik Selcare berhampiran.
“Senarai klinik Selcare yang terlibat dalam pelaksanaan Program SelVax Booster boleh didapati di laman sesawang https://selcareclinic.com/our-clinic/ atau melalui aplikasi SELangkah.
“Semua maklumat penerimaan vaksinasi dos penggalak melalui program SelVax Booster ini akan dihantar oleh klinik terlibat melalui aplikasi MySejahtera.
“Dalam masa yang sama, Program SelVax Booster akan turut dilaksanakan di beberapa lokaliti (on-site) tertentu berdasarkan permintaan Ahli-ahli Dewan Negeri seluruh Selangor,” kata Amirudin lagi.