Pelajar MRSM kes tumbuk dipanggil polis

Oleh ARIF ATAN

Semua pelajar yang dikatakan terbabit dalam kejadian buli secara kekerasan atau ‘ragging’ di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar sudah dipanggil polis.

Dalam masa sama, pemilik akaun media sosial yang menularkan video itu juga dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan, kata Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Beliau berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, kejadian buli terbabit berlaku pada awal pagi semalam iaitu antara jam 1 hingga 2 pagi, 9 Disember membabitkan mangsa dengan tujuh suspek remaja lain yang semuanya adalah pelajar Tingkatan 1 berusia 13 tahun.

Menurutnya, pihaknya turut mengesahkan menerima satu laporan berkaitan kes itu daripada pengetua sekolah terbabit kira-kira jam 1 tengah hari tadi susulan tularnya rakaman video insiden tersebut sehingga mendapat perhatian meluas warganet.

“Polis mengesan satu rakaman video tular berkaitan pergaduhan membabitkan pelajar yang dikenal pasti berlaku di sebuah sekolah berasrama penuh dalam daerah Kuala Kangsar hari ini,” katanya dalam kenyataan.

Mior Faridalathrash berkata, semua pihak berkenaan dipanggil memberi keterangan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jelasnya, polis menasihati orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berkaitan kejadian itu bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat selain dibimbangi dapat mengganggu proses siasatan.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak menularkan maklumat tidak sahih kepada umum serta disarankan membuat laporan dan aduan di balai polis berhampiran, menghubungi jabatan berkaitan, atau mengikut undang-undang yang diwartakan,” tambahnya lagi.