Pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Malaysia akan terus dikenali sebagai negara kleptokrat sekiranya rakyat Malaysia masih lagi memberi sokongan kepada Umno.
Beliau berkata, sejak Umno dirampas oleh kumpulan perasuah dan penyangak, mereka hanya menggunakan parti itu dan orang Melayu untuk menjadi kerajaan sekali gus memperkaya diri mereka sendiri.
Justeru katanya, Pejuang boleh dijadikan pilihan orang Melayu jika mereka tidak sanggup memberi undi kepada Umno lagi dan masih tidak percaya kepada parti berbilang kaum.
“Jika Umno masih disokong maka Malaysia akan kekal sebagai kleptokrasi. Maka akan rosak dan hancurlah negara dan orang Melayu.
“Inilah sebabnya Parti Pejuang Tanah Air ditubuh. Ia adalah parti Melayu/Bumiputera seperti Umno.
“Dengan adanya Parti Pejuang Tanah Air yang disertai oleh orang Melayu dan bumiputera, maka orang Melayu dan bumiputera yang tidak sanggup sokong Umno kerana korupsi dan jenayah mereka, dapatlah mereka sokong Pejuang, sebuah parti Melayu yang bersih dan cinta kepada bangsa, negara dan agama,” katanya dalam satu catatan terbaru di blog.
Selain itu Mahathir berkata, Pejuang merupakan parti yang menentang rasuah, jenayah kewangan dan salah guna kuasa.
Malah, kepimpinan Pejuang terdiri dari bekas pemimpin Umno yang telah berjaya bangunkan Malaysia.
Calon-calon Pejuang juga katanya, akan terdiri dari mereka yang tidak terlibat dengan rasuah, yang utamakan bangsa, negara dan agama.
“Kita sedar adanya orang bukan Melayu dalam negara kita. Kerajaan yang kita dirikan akan dianggotai juga oleh bukan Melayu yang menolak rasuah dan percaya kepada kerjasama antara kaum dan agihan kekayaan secara adil antara kaum-kaum di Malaysia,” katanya.