PKR Perak kecam pihak cuba serang Anwar, pecah belahkan parti

Oleh KIM SYAZIE

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Perak, Farhash wafa Salvador mengecam sekeras-kerasnya tindakan segelintir pihak yang disifatkan seperti baling batu sembunyi tangan apabila memilih menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan dakwaan-dakwaan yang tidak berasas.

Beliau mendakwa ada usaha dilakukan secara berterusan untuk menyerang Anwar menerusi surat-surat layang yang disebarkan.

Menurutnya, usaha untuk menganggu-gugat kedudukan Presiden PKR itu hanyalah bertujuan mengalih perhatian daripada perbincangan perihal dasar kerajaan yang lebih penting pada ketika ini.

“Berapa kenyataan telah tular sejak kebelakangan ini. Ianya jelas kelihatan wujudnya usaha untuk memecah-belahkan semangat perpaduan dalam kalangan anggota PKR.

“Saya menyeru supaya kepimpinan tertinggi kesemua parti di dalam Pakatan Harapan untuk berdiri teguh di belakang Pengerusi Pakatan Harapan yang juga Presiden PKR, Anwar Ibrahim agar kita dapat bergerak ke hadapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum yang akan datang, sekaligus kembalikan mandat rakyat yang telah dikhianati pada Februari tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini