Kes kedua Omicron babit kanak-kanak

Oleh ARIF ATAN

Kes Covid-19 varian Omicron kedua dikesan di negara ini membabitkan seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang menetap di Lagos, Nigeria.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata pesakit bersama ibu dan adik perempuannya tiba di Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5 Disember lalu sebelum disahkan positif Covid-19 dua hari selepas itu.

Pesakit itu kemudiannya, kata beliau, disahkan varian Omicron pada 14 Disember lalu, selepas Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) melakukan jujukan penuh genom.

“Pesakit tidak mempunyai gejala dan kini sedang menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.

“Ini menjadikan kes kumulatif kes yang dikesan Omicron adalah sebanyak dua kes di mana kedua-duanya membabitkan jangkitan import dari luar negara,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Dalam masa sama, Kementerian Kesihatan (KKM) turut memaklumkan sebanyak 18 kes kemungkinan varian Omicron dikesan di Malaysia dalam kalangan pengembara yang pulang dari luar negara.

Khairy berkata, 18 kes kemungkinan varian Omicron itu dikesan hasil ujian PCR Genotyping Assay yang dijalankan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) membabitkan 52 sampel.

Walaupun begitu, jelasnya, keputusan pengesahan berhubung varian itu akan diperoleh melalui jujukan genom penuh (WGS) yang akan diperoleh esok.