Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak ke-7 di Balai Menghadap Utama, Astana Negeri, Petra Jaya malam ini.
Istiadat yang diadakan secara tertutup tersebut berlangsung di hadapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada jam 10.40 malam tadi.
Abang Johari, 71, yang juga merupakan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) dilantik semula sebagai Ketua Menteri selepas GPS memperolehi majoriti melebihi 50 peratus dengan memenangi sejumlah 45 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan dalam Pilihanraya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-12 sekali gus membentuk kerajaan negeri.
Beliau pernah mengangkat sumpah jawatan yang sama pada 13 Januari 2017 menggantikan mantan Ketua Menteri, Allahyarham Pehin Sri Tan Sri Datuk Patinggi Adenan Satem yang telah meninggal dunia akibat komplikasi jantung.
Hadir sama isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib, isteri Ketua Menteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan-timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion serta tetamu kenamaan yang lain.
SPR memaklumkan, sehingga jam 10.45 malam tadi, GPS memperolehi 75 kerusi manakala PSB (4) dabn DAP (2) manakala kerusi Mulu masih belum diputuskan lagi.