Kesejukan di atas bumbung menunggu pasukan penyelamat

Oleh KIM SYAZIE

Sekumpulan penduduk Hulu Langat kini dilaporkan sedang berteduh di atas bumbung sebuah surau dan masing-masing kelihatan penat dan kesejukan ketika menunggu bantuan tiba.

Kejadian menimpa penduduk itu tular di laman sosial pagi ini selepas beberapa video kejadian tersebut dikongsi netizen.

Difahamkan, penduduk menyelamatkan diri dengan berteduh di bumbung Surau Nanding di Hulu Langat selepas air naik di kawasan tersebut.

Dalam video tersebut, berpuluh-puluh mangsa terperangkap tanpa makanan. Suara bayi menangis juga mengundang simpati orang ramai.

Setakat pagi ini masih ramai yang terkandas dalam banjir dan usaha menyelamat masih terus digerakkan.

Tinjauan di sosial media Twitter dengan tanda pagar #Daruratbanjir, penduduk di kawasan Taman Sri Muda, Shah Alam antara yang paling ramai meminta bantuan orang awam kerana masih lagi terperangkap di dalam rumah.

Difahamkan, pasukan sukarelawan juga sedang mengerahkan tenaga meminta mangsa banjir yang terperangkap untuk mengibarkan bendera kuning atau putih di luar rumah bagi memaklumkan keberadaan mereka.