Parit Buntar hulur bantuan kepada mangsa bah di Hulu Langat

Oleh ARIF ATAN

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berharap mangsa banjir di Hulu Langat, Selangor dapat dibantu dalam operasi membersihkan rumah mereka.

Beliau berkata, pihaknya telah membeli mesin penyembur air berkuasa tinggi dan menurunkan satu lagi kumpulan membersihkan kediaman penduduk terjejas.

“Alhamdulillah, petang tadi saya ke Pekan Parit Buntar untuk membeli mesin penyembur air berkuasa tinggi untuk membantu petugas mencuci lebih banyak rumah mangsa banjir di Hulu Langat.

“Beberapa hari yang lalu saya telah melepaskan satu team daripada Parit Buntar dengan kelengkapan lengkap mencuci rumah mangsa banjir.

“Saya berharap dengan bantuan ini dapatlah membantu segera mangsa banjir dalam Ops Membersih rumah mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hulu Langat antara kawasan teruk terjejas akibat banjir besar minggu lalu dengan ramai penduduk dan mangsa bah tidak ada pusat pemindahan sementara (PPS).

Sesetengah kawasan di daerah itu juga sukar diakses kerana terletak di pedalaman dengan ada mangsa banjir tidak boleh keluar manakala pihak berkuasa sukar untuk masuk.