Para penganjur perhimpunan Tangkap Azam Baki akan terus ke LRT Jalan Bangsar jam 11 pagi ini walaupun telah dipaksa ke Balai Polis malam tadi.
“Setelah selesai berceramah, kami ditahan polis di Restoran Amjal dan dihalang daripada keluar dari restoran tersebut.
“Kami dibenarkan pulang setelah butiran kami diambil dan penceramah dikenalpasti. Kemungkinan besar kami akan dipanggil ke IPD esok.
“Nevertheless, kami tetap akan turun ke LRT Bangsar! #TangkapAzamBaki. Anak muda tidak akan berdiam!!” tulis Dr Thanussha, salah seorang penganjur yang ditahan polis malam tadi.
Turut diambil keterangan malam tadi adalah Ketua Pemuda PH, Howard Lee (gambar atas) dan Adam Adli, ahli baru PKR yang merupakan aktivis mahasiswa sebelum ini. Jeming atau Hazmi Hassan menjadi moderator majlis malam tadi.
“Selesai serah maklumat diri pada polis dari IPD Brickfields di Restoran Amjal.
“Dibenarkan pulang. Jumpa esok. LRT Bangsar, 11.00 AM. #tangkapazambaki,” tulis Adam Adli yang turut memberikan ucapan di Restoran Amjal malam tadi.
Menurut Adam Adli ketika berucap malam tadi, beliau akan terus ke perhimpunan pagi ini walaupun hanya 10 sahaja yang sanggup berhimpun.
Perhimpunan Tangkap Azam Baki dipindahkan ke LRT Bangsar selepas polis mengawal ketat semua jalan raya yang menuju ke Kuala Lumpur.
Sogo dan Masjid Jamek menjadi tapak perhimpunan awal mereka sebelum ini.
Pagi ini polis mulai mengarahkan kenderaan yang menuju ke Bangsar keluar dari kawasan itu.