‘Susahlah mahu percaya kalau macam itu’ – Pandangan Mukhriz terhadap Pas

Oleh ARIF ATAN

Krisis Umno-Pas dalam Muafakat Nasional (MN) sekarang bukan hal yang menjadi rahsia lagi.

Sikap Pas yang dilihat bergayut pada pihak yang berkuasa terbukti apabila masih dalam kerajaan PN-BN walaupun bersama Bersatu.

Bagi Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang juga Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, pendirian Pas dalam kesepakatan politik sudah sukar untuk dipercayai.

“Sekarang ini dia bersama Bersatu, tapi kalau keadaan berubah, silap-silap mereka boleh patah semula, atau tak tahulah ke mana mereka akan pergi.

“Kalau kita ingat, dulu sewaktu zaman PH, empat kali pimpinan Pas bertemu Tun Dr Mahathir, dan empat kali mereka bagi seumpama bai’ah, “kami 18 ahli Parlimen dari Pas ini, akan menyokong sepenuhnya kepimpinan Tun Dr Mahathir.”

“Tapi kemudian, mereka boleh sertai Langkah Sheraton. Jadi, susahlah mahu percaya kalau macam itu,” katanya dalam wawancara disiarkan Mingguan Malaysia hari ini.

Bekas Menteri Besar Kedah itu turut menyifatkan hubungan Pas dan Umno sehingga sekarang berlaga di semua kerusi yang ditandingi.

“Jadi, macam mana mahu agih kerusi? Di Kedah, 15 kerusi itu seperti di Jerai, Sik dan Baling, ini memang medan perang antara Umno-Pas.

“Jadi, siapa mahu dapatkan kerusi yang mana?” soal anak Dr Mahathir itu lagi.