Tan Sri Annuar Musa didakwa telah menggelarkan ahli dan peserta konvenysen BN yang berdiri menyokong PRU15 diadakan pada tahun ini sebagai penakut.
Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Melaka Dr Muhamad Akmal Saleh mendedahkan perkara itu apabila melihat Annuar tidak berdiri menyatakan sokongan di mana ketika itu beliau duduk di hadapannya.
Akmal yang juga Adun Merlimau berkata, Annuar sebagai pimpinan utama negara tidak sepatutnya menggelarkan peserta yang berdiri sebagai penakut.

“Saya anggap itu adalah kenyataan yang tidak patut dikeluarkan oleh pemimpin utama negara.
“Menggelar semua yang berdiri tadi adalah penakut pada ayahanda presiden saya terus terasa hati,” katanya di facebook.
Katanya, ahli biasa tidak pernah takut, malah ingin meminta pilihan raya diadakan pada tahun ini dan lebih awal adalah kerana BN ingin memulangkan semula mandat kepada rakyat supaya mereka dapat memilih kerajaan pilihan mereka
“Ini kerana kerajaan yang ada hari ini bukanlah kerajaan yang dipilih oleh rakyat tan sri, dan tan sri juga pernah bercakap dahulu bahawa Umno dan BN tidak pernah mengkhianati mandat rakyat dan tan sri juga dulu antara orang yang bercakap bagi pihak parti untuk melakukan pilihan raya apabila kerajaan Pakatan Harapan tumbang untuk menghormati prinsip mandat rakyat.
“Mungkin tan sri terlupa, saya mohon untuk mengimbau kembali apa yang tan sri pernah ucapkan dulu.
“Kami tidak pernah takut untuk melakukan pilihanraya kerana bagi kami kepentingan parti adalah lebih penting dari jawatan yang ada,” katanya.
Justeru beliau memohon Annuar menyatakan maaf atas perkataan yang dikeluarkan itu kerana ia benar-benar mengguris hati ahli yang sayangkan parti.
“Saya mohon maaf jika tulisan ini mengguris hati tan sri, tetapi kesan dari ayat tan sri tadi benar-benar membuatkan kami ahli di bawah ini sangat-sangat terasa,” katanya lagi.