Maut ketika lumba haram, pemuda ini ingatkan rakan sebaya jangan tahu berseronok saja tanpa fikir ajal maut sedang menanti

Oleh ARIF ATAN

Sudah lima orang anak muda maut dalam kemalangan ngeri akibat lumba haram di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, dekat sini, awal pagi, 17 Julai lalu.

Nahas jalan raya membabitkan beberapa buah kenderaan itu menyaksikan mangsa yang terkorban berusia seawal 17 tahun.

Tragedi yang berlaku kira-kira jam 4 pagi itu menyaksikan kesemua mangsa berasal dari Pulau Pinang dan Kedah.

Ikuti pandangan SHAMIR FARIZMI NAWARI yang antara lain menyeru agar golongan muda berfikir panjang terlebih dahulu demi menjadi bangsa yang terus maju dan berjaya.

Pesannya tegas, jangan berseronok tanpa berfikir ajal maut sedang menanti giliran untuk dicabut:

“Cuma mahu bercakap dari hati ke hati. Diam dan fikir sejenak, wahai anak muda lihatlah apa yang berlaku.

Kemalangan melibatkan remaja lelaki yang usia paling muda 17 tahun. Usia sebegini adalah fasa kemuncak dalam kehidupannya kerana menjalani SPM. Tapi apakan daya, semua ini adalah takdir yang dibuat oleh dia sendiri.

Bukan saya menolak takdir dan tidak percaya qada’ dan qadar tetapi lihat dan fikirlah. Lumba haram itu adalah pilihan. Mahu berlumba haram atau tidak, namun dia memilih takdirnya untuk berlumba haram. Betul, Allah telah tulis dia akan kemalangan namun nahas yang puncanya daripada pilihan dia sendiri.

Selain itu, dalam usia 25 tahun, ada yang meninggalkan isteri dan anak akibat perbuatan orang lain. Difahamkan, mangsa adalah runner dan sewaktu kemalangan berlaku, mangsa cuba membantu malah kerana takdir mangsa dilanggar oleh pelumba haram yang lain.

Bayangkan sejenak. Isteri sedang menunggu hari untuk bersalin namun ajal suami dijemput oleh pelumba haram. Wajah anak tidak sempat ditatap malah isteri bersalin dan berpantang tanpa seorang suami. Nyawa mangsa dijemput pelumba haram sebelum isteri sempat bersalin.

Saya faham ibu ayah pasti akan menafikan anak mereka buat perkara tidak baik seperti lumba haram yang matinya dipanggil mati katak.

Namun, bukti telah menunjukkan bahawa mereka sedang berlumba sebelum terbabas dan berlanggar sesama sendiri. Jangan menafikan kerana bukti telah terbentang luas di media sosial.

Tidak usahlah bergelak ketawa

Terimalah dengan terbuka bahawa anak kita pergi dalam keadaan begitu. Namun, orang ramai tidak usahlah bergelak ketawa. Tidak usahlah berkata-kata.

Alangkah baiknya kita berdoa semoga mereka mendapat keampunan sebelum pergi buat selama- lamanya dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Bagaimana yang sedang terbaring kaku di atas katil hospital. Adakah malaikat maut sedang menanti giliran untuk mencabut nyawa mereka juga? Jika dicabut mungkin itu lebih baik daripada cacat hingga memberikan bebanan kepada keluarga untuk menguruskannya.

Bukan saya berdoa kematian namun fikirlah sejenak. Anak yang dilahirkan sempurna sifatnya, dijaga seperti menatang minyak yang penuh, namun menempah kecacatan buat diri sendiri. Alangkah sedihnya keluarga melihatnya malah menambah bebanan buat mereka.

Adakah itu yang anak muda kita mahukan? Bangsa apakah yang berlumba haram? Bangsa Melayu yang lahirnya di atas tanah air sendiri.

Bangsa Cina dan India, adakah mereka terlibat sekali? Ada, namun boleh dikira dengan jari. Mengapa anak bangsa Melayu melibatkan diri dalam perkara tidak baik ini? Tidak keterlaluan boleh dikatakan kerana akal pendek.

Ya betul, saya Melayu tetapi saya berani berkata, fikiran sebahagian orang Melayu adalah singkat. Hanya fikir daripada pagi ke tengah hari, tidak berfikir apa pula berlaku pada petang dan malam hari.

Alangkah bagusnya, kita berfikir panjang terus memasuki dunia di hadapan hari pasti bangsa kita akan terus maju dan berjaya.

Buat anak muda seperti saya atau lebih muda, janganlah fikir semasa sahaja tetapi fikirlah selepas ini juga.

Fikirlah tentang masa depan. Jangan berseronok tanpa berfikir ajal maut sedang menanti giliran untuk dicabut. Masa depan masih panjang adik-adik semua.

Jangan hampakan ibu ayah sebaliknya banggakan mereka. Tidak pandai tidak mengapa, asalkan jadi bangsa yang berguna.

Sekian coretan daripada saya Shamir Farizmi Nawari buat anak muda dan diri sendiri.”

Baca juga Rapat terus ke bahu jalan, situasi kemalangan ini jadi perdebatan warganet

Baca juga Pukul dulu baru lapor, lelaki curi getah cedera dipukul orang awam