Anwar pegang arnab untuk ucap Tahun Baru Cina, warganet berseloroh nasib baik bukan binatang lain

Oleh KIM SYAZIE

Iklan Tahun Baru Cina yang dilakonkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya menarik perhatian rakyat apabila tular di media sosial semalam.

Iklan tersebut memaparkan seekor arnab yang bernama Miki iaitu zodiak tahun ini melompat sambil diiringi suara latar belakang sebelum digendong oleh Perdana Menteri.

“Sebagai satu negara merdeka, dan sudah matang serta dewasa. Wajar kita perkasakan semua rakyat, semua kaum di negara Malaysia tercinta.

“Untuk kesempatan ini, marilah kita sama-sama merayakan hari kebesaran masyarakat cina, Gong Xi Fa Cai, Xinnian Kuaile, Xin Nian Hao,” ucap Anwar sambil memegang Miki.

Di dalam iklan tersebut, Miki dilihat seperti haiwan yang tidak mengenal penat lelah menghadapi pelbagai cabaran untuk terus hidup dan bernafas di muka bumi.

Perjuangan Miki sebenarnya menggambarkan rakyat Malaysia yang tidak pernah mengalah dalam mencari sinar harapan.

“Ayuh kita bangkit, kita bangkit dengan perpaduan,” ucap suara latar belakang iklan tersebut.

Rata-rata pengguna media sosial amat tertarik dengan iklan tersebut dengan memberikan komen yang positif seperti Arfahnadiah yang tidak sabar menunggu iklan ucapan Hari Raya.

“Segar dan ada perubahan yang baik dalam ucapan perayaan oleh PMX. Stailo! Tunggu Hari Raya punya pula,” katanya.

Selain itu, ada juga pengguna yang berkongsi komen mencuit hati yang bertanyakan sekiranya Anwar akan memegang haiwan lain mengikut zodiak.

“Comel pula buat ucapan sambil gendong arnab. Tahun depan tahun naga, adakah PMX akan pergi ke Tasik Chini untuk buat ucapan?,” komen Hadith Fajri.

“Nasib baik bukan tahun babi,” seloroh Nick Tauf.

Dalam kalendar Cina, terdapat 12 binatang mewakili zodiak pada setiap tahun iaitu tikus, lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam jantan, anjing dan babi.

Pada tahun ini, merupakan giliran zodiak arnab dengan tema air.

Baca juga: Kalau Anthony Loke boleh ‘perform’, kenapa pihak lain tak buat juga sebelum ini?