Jaya Grocer, Grab sertai inisiatif Payung Rahmah

Oleh BORHAN AHMAD

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) hari ini melancarkan kerjasama dengan dua syarikat gergasi Jaya Grocer dan Grab Malaysia dalam usaha melebar luas inisiatif Payung Rahmah.

Inisatif bagi mengurangkan beban rakyat terus mendapat sambutan apabila hampir 1,000 perniagaan telah mengambil bahagian dalam insiatif Payung Rahmah bersama Jaya Grocer dan Grab Malaysia.

Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kehadiran jenama besar itu sekali gus memusnahkan ‘mimpi ngeri’ beliau yang bimbang inisiatif dilaksanakan akan berakhir.

“Saya tidak menyangka ada lagi syarikat mahu dan terus memberi sokongan kepada usaha KPDN memandangkan inisiatif Payung Rahmah ini tidak memberi apa-apa geran dan peruntukan khusus kepada mana-mana pihak yang menyertai.

“Perkara ini sekali gus mendorong KPDN untuk bekerja dengan lebih kuat dan terus menyantuni masyarakat dalam setiap segmen di bawah Inisiatif Payung Rahmah,” katanya kepada media selepas merasmikan pelancaran Inisiatif Payung Rahmah bersama Jaya Grocer dan Grab Malaysia, hari ini.

Menerusi kerjasama itu, Jaya Grocer dan Grab Malaysia akan menawarkan promosi eksklusif melalui tiga inisiatif di platform Grab.

Ia meliputi Pakej Rahmah iaitu tawaran pakej ‘mix & match’ dari serendah RM18 serta GrabFood Jualan Rahmah iaitu diskaun sehingga 40 peratus untuk barangan keperluan harian dan eksklusif di Jaya Grocer melalui GrabMart.

“Selain itu, terdapat juga pemberian Bakul Rahmah secara berkala bagi menyokong pemandu orang kurang upaya (OKU) Grab dan rakan kongsi penghantaran dengan kotak keperluan asas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Jaya Grocer dan Pengarah Urusan Grab Malaysia, Adelene Foo berkata, penyertaan pihaknya dalam Inisiatif Payung Rahmah bagi membantu mengurangkan beban rakyat berikutan peningkatan kos sara hidup.