Syarikat pengeluar kereta nasional, PROTON berkemungkinan akan memperkenalkan model sedan terbaharunya ke pasaran pada November ini.
Menyita perhatian ramai, pendedahan ekslusif itu dibongkarkan oleh penganalis daripada institusi penyelidikan terkemuka, RHB Research iaitu Syahril Hanafiah.
Berdasarkan makluman, Syahril mendedahkan bahawa sebanyak 28 unit model PROTON baharu dengan kod nama ‘SS11’ telah mula dipasang di kilang syarikat itu.
Menurutnya, model yang dipasang di kilang Tanjung Malim pada September lalu itu mungkin menjadi model sedan baharu dijadualkan bakal dilancar pada akhir 2023 ini.
Syahril menerusi laporan Berita Harian berkata, kod nama ‘SS11’ ini bertepatan dengan butiran yang dinyatakan dalam artikel terbitan Paultan.org pada Julai lalu.
“Kami berpandangan model baharu ini yang mungkin dalam reka bentuk segmen C, akan dijual pada harga melebihi Proton Persona (harga bermula RM47,800).
“Namun, (sedan baharu ini mungkin ditawarkan dengan harga yang) lebih rendah daripada Proton X50 (harga bermula RM86,300).
“Memandangkan Proton X90 dipasangkan pada Mac 2023, tetapi dilancarkan pada Mei. Kami fikir model baharu ini berkemungkinan akan dilancarkan pada November,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Sedan baharu keluaran PROTON yang dijangka bakal dilancarkan pada November depan itu dikatakan diambil daripada ‘rebadge’ model keluaran Geely Emgrand.
Sekiranya model berkenaan dilancarkan PROTON, ia dijangka bakal bersaing dengan sedan daripada segmen B seperti Toyota Vios, Honda City dan Nissan Almera.
Difahamkan, laporan Berita Harian itu dibuat berdasarkan satu nota penyelidikan mengenai sektor automotif yang ditulis oleh Syahril Hanafiah.
Penyelidikan itu menyaksikan prestasi lemah daripada pengeluar kereta utama pada September lalu iaitu PROTON (-12.3 peratus), PERODUA (-6.8 peratus), Honda (-16.3 peratus), dan Toyota (-10.2 peratus).
Manakala dari segi jumlah pengeluaran industri (TPV) pula, kenaikan dua peratus berjaya dicatatkan berbanding bulan sebelumnya yang disumbang oleh PERODUA (2.0 peratus).
Jenama-jenama utama lain pula merekodkan penurunan pengeluaran iaitu Honda (-17 peratus), Mazda (-12 peratus), Toyota (-6.0 peratus), dan PROTON (-2.0 peratus).