Shila dedah kekasih Syafiq Amzah dah setahun duduk di banglo miliknya, beri tempoh sampai hari ini untuk keluar

Oleh KIM SYAZIE

Penyanyi Shila Amzah membuat pendedahan mengejut apabila mendakwa kekasih kepada adiknya, Syafiq Amzah sudah lebih setahun duduk sebumbung dengan keluarganya.

Shila nampaknya bukan setakat menanggung keluarga, malah turut menanggung wanita tersebut sejak tahun 2021.

Dalam satu hantaran di Instastory, Shila atau nama sebenar Nurshahila Amir Hamzah memberi tempoh sehingga hari ini untuk wanita tersebut yang dikenali sebagai Eiza, untuk keluar dari rumah banglo dihuni keluarga mereka.

Peserta program Famili Duo 3 itu juga berkata, dia tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang jika wanita terbabit berdegil.

“Assalamualaikum teruntuk orang luar yang sebenar. Eiza yang dah lama duduk di rumah saya di Langat tu, sila keluar selewatnya esok sebelum saya ambil tindakan undang-undang.

“Sila keluar dengan kadar segera. Satu sahaja ayat yang keluar daripada awak tentang saya dan keluarga saya di media sosial, saya akan hantar surat tuntutan LOD .

“Sha dah pernah beritahu mak supaya dia keluar sejak tahun lepas. Dia berpindah masuk tanpa kebenaran saya,” tulisnya.

Shila

Dalam hantaran lain melalui sesi soal jawab di Instagram, Shila turut menjelaskan wanita bernama Eiza berkenaan selalu ‘menempel’ di setiap acara keluarganya.

“Saya tidak kisah kalau dia baik. Tapi sejak kes ibu bapa saya cerai dan kejadian baru-baru ini menunjukkan bahawa dia sebaliknya,” ujarnya.

Sebelum ini kemelut adik beradik penyanyi Shila Amzah heboh diperkatakan oleh warganet apabila adiknya Syada Amzah memuat naik Instastory mencari rumah sewa kerana rumah yang didiaminya bakal dijual.

Syada turut menyifatkan dia dihalau daripada rumah seperti haiwan jalanan.

Tidak lama selepas itu, adik lelakinya, Amir Syafiq turut mendedahkan bahawa Shila berkelakuan biadab kepada ibunya, Fauziah Sarman.

Shila tampil membuat kenyataan bahawa dia tidak berniat menghalau tetapi menjual rumah banglo tersebut untuk mencari kediaman yang lebih baik.

Penyanyi itu turut menambah bahawa rumah itu dibeli atas namanya hasil pendapatan nyanyiannya.

Baca juga: Kenyataan dipusing Caprice sampai diserang netizen, Michael Ang minta hadam dulu sebelum masuk campur