Muncul semula lepas 14 tahun ‘hilang’, Waheeda Wassini bakal kembali ke industri seni

Oleh WAN SITI AMINAH

Sekian lama menyepi daripada dunia hiburan tanah air, penyanyi Waheeda Wassini akhirnya akan kembali beraksi selepas 14 tahun ‘menghilang’.

Penikmat muzik tanah air pasti masih teringat lagu berirama Arab, ‘Wassini’ yang pernah menjadi fenomena dan sering dimainkan di corong radio satu ketika dahulu.

Waheeda atau nama sebenarnya, Norwahidah Abdul Wahab turut dikenali menerusi filem lakonannya seperti Jutawan Fakir, Anak Mami Kembali, dan Nana Tanjung.

Penyanyi berusia 45 tahun itu bagaimanapun mula menyepi dari industri seni selepas mendirikan rumah tangga dengan penceramah bebas, Akhil Hayy pada 16 Ogos 2009.

Sempat memberi kejutan kepada semua pihak, Waheeda kini mengumumkan untuk kembali beraksi di dunia seni dan bakal mengeluarkan lagu tidak lama lagi.

Waheeda yang pernah memenangi tempat ketiga Voice of Asia itu juga mahu lebih dikenali sebagai komposer, pemuzik, dan pencerita melalui lagu-lagu yang bakal dihasilkan.

Sekembalinya ke dunia muzik tanah air, Waheeda membawa keazaman yang cukup besar untuk menjadikan karya seni miliknya sebagai medium bagi menyebarkan ilmu.

Tidak cukup dengan itu, Waheeda juga menyimpan hasrat untuk membuka ruang kepada mereka yang mahu mencuba nasib di industri muzik, lapor Gempak.

“Untuk kehadiran semula ini, saya membawa matlamat untuk menjadikan karya-karya muzik yang dihasilkan sebagai medium utama dalam menyebarkan ilmu.

“Saya juga ingin berkongsi ruang dengan bakat-bakat seni tanah air yang sudah lama mencuba nasib menembusi pasaran semasa, untuk berkongsi karya mereka.

“Saya juga terbuka untuk berkerjasama dengan pengkarya seni dari luar negara bagi mengembangkan lagi pengaruh muzik saya,” katanya memetik laporan Gempak.

Dedah Waheeda, dia menyimpan impian untuk melihat hasil kerja seninya dan anak-anak Malaysia lain berkembang serta menembusi pasaran antarabangsa.

Anak kelahiran Johor itu juga sempat mengasah bakat dan kemahirannya dalam bermain pelbagai alat muzik termasuk biola dan piano sepanjang tempoh berehat.

Difahamkan, ini adalah antara instrumen-instrumen penting yang akan menjadi penyeri dalam lagu dihasilkannya sambil disulami dengan rentak dan bunyi moden.

Mengulas lanjut, Waheeda yang kini diurus sepenuhnya oleh Skyson PR sedang berbincang untuk berkolaborasi dengan beberapa penyanyi di carta terunggul.

Hasil daripada kerjasama ini, peminat dijangka akan dapat mendengar single terbaharu daripada Waheeda Wassini pada suku pertama tahun 2024 akan datang.

Baca juga: Kongsi gambar tak berniqab versi AI, ramai luah rindu nak lihat kecantikan Neelofa “rindunya, AI pun AI lah”