Jijik! ‘Pesta gelek’ jadi punca festival makan di Kluang diarah tutup serta merta

Oleh WAN SITI AMINAH

Peniaga yang mengambil bahagian dalam Jelajah Makan Johor merasa bengang dengan tindakan penganjur yang membiarkan ‘aksi gelek’ mencemari karnival itu.

Akibatnya, peniaga terpaksa menanggung ribuan ribu ringgit selepas pihak berkuasa mengeluarkan arahan untuk menamatkan penganjuran festival tersebut serta-merta.

Pembatalan itu dipercayai berpunca daripada penularan video memaparkan tarian kurang sopan para pengunjung festival yang mengundang kemarahan orang ramai.

Rata-rata pengguna media sosial didapati menyelar acara gelek dangdut melibatkan sekumpulan anak muda yang bebas bergaul lelaki dan perempuan di pesta tersebut.

Pengunjung festival makan di Dataran IKS Simpang Renggam, Kluang, Johor itu juga didakwa tidak sensitif kerana berhibur ketika masyarakat Palestin sedang menderita.

Salah seorang peniaga yang terjejas memaklumkan bahawa penjualannya langsung tidak balik modal berikutan pesta makan itu dibatalkan lebih awal dari tempoh asal.

Cuaca yang tidak menentu juga gagal membantu peniaga mendapatkan keuntungan sebelum pesta ditutup bagi menampung rugi dan upah pekerja, lapor Berita Harian.

“Saya sudah meniaga sejak Jumaat hingga Selasa lalu meskipun cuaca tidak menentu. Setiap hari hujan sampai ke malam. Jualan rata-rata peniaga di bawah RM100 sehari.

“Dengan pekerja yang ramai. Barang mentah kami sudah beli dengan banyak termasuk menanggung kos logistik, malah ada peniaga dari jauh seperti Pahang dan Kelantan.

“Pembatalan terus (pesta makan) ini menjadi bebanan buat semua peniaga sehingga kami tak mampu membayar gaji pekerja,” kata peserta yang enggan dikenali itu memetik Berita Harian.

Susulan itu, penganjur Jelajah Makan Johor tampil memohon maaf menerusi satu hantaran di laman Facebook Jelajah Bazaar Lelong Johor berhubung insiden berkenaan.

Menurut penganjur, insiden berkenaan berpunca daripada kegagalan dari pihaknya untuk mengawal pengunjung yang datang ke pesta berkenaan untuk ‘berhibur’.

“Penganjur Jelajah Makan Johor dengan ini memohon maaf kepada warga Simpang Renggam dan pihak berkuasa tempatan terutamanya Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR).

“Sesungguhnya kesilapan itu berlaku atas kelemahan kami sendiri yang gagal mengawal pengunjung yang datang untuk berhibur. Tiada niat selain (menganjur) untuk memeriahkan program.

“Namun atas kelemahan, kami gagal mengawal tindak tanduk pengunjung yang telah mencemarkan nama baik MDSR.” Katanya.

Baca juga: Bakar al-Quran, Sweden akan usir Salwan Momika