Anak-anak zaman sekarang kadangkala hanya belajar melalui pemerhatian sahaja, bayangkan masih muda lagi sudah pandai memandu kenderaan.
Ini bukanlah kes pertama terjadi malah di Malaysia pernah digemparkan budak bawah umur bawa kenderaan pada waktu malam.
Menurut The Straits Times, budak lelaki berusia 13 tahun di China memandu teksi bapanya selama 10 jam dengan menempuh jarak 500 kilometer (km), sebelum akhirnya dia ditahan polis.
Pan dikatakan mengambil kunci teksi itu pada 23 Oktober lalu selepas pertengkaran sebelum mengajak dua rakan untuk ikut bersama.
Pada mulanya dia memandu teksi di sekitar bandar Baoding di wilayah Hebei namun kemudian memutuskan untuk pergi ke wilayah Liaoning.
Bagaimanapun, dia ditahan oleh polis trafik apabila mereka melepasi pusat pemeriksaan di lebuh raya di Langfang di Hebei.
Kelihatan pemandu dan penumpang yang terlalu muda, polis yang bertugas kemudian mengesahkan bahawa mereka adalah remaja.
Polis juga memaklumkan bahawa bapa kepada Pan adalah seorang pemandu teksi jadi budak lelaki itu sering memerhatikan bapanya memandu dari tempat duduk belakang.
Sejak itu Pan secara beransur-ansur mempelajari cara mengendalikan kenderaan itu.
Walaupun bapanya melarang daripada memandu sebarang kenderaan bermotor, Pan sebelum ini secara ‘sembunyi’ pernah memandu teksi bapanya.
Polis memberitahu ibu bapa kanak-kanak itu supaya membuat pemantauan dengan lebih teliti dan menghalang daripada terbabit dalam aktiviti berisiko.
Mungkin lepas ini, semua kunci kereta disembunyikan dalam satu tempat agar anak-anak tidak senang memandu dan membahayakan nyawa orang lain.
Baca juga: Dilabel sebagai daging kambing, aktivis selamatkan ribuan kucing dari disembelih