Pecah amanah, Syed Saddiq dihukum penjara 7 tahun, 2 sebatan dan denda RM10 juta

Oleh WAN SITI AMINAH

Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Hukuman itu dijatuhkan selepas Syed Saddiq didapati bersalah atas empat pertuduhan pecah amanah dana Armada, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).

Keputusan diputuskan Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid selepas mendengar hujahan peguam bela bagi diringankan hukuman dan hujahan pemberatan hukuman oleh pendakwaan.

Hakim turut membenarkan permohonan bekas Menteri Belia dan Sukan itu untuk menangguhkan hukuman penjara sementara rayuan dari pihaknya dikemukakan.

Memetik laporan Berita Harian, Datuk Azhar bagaimanapun mengarahkan syarat jaminan terhadap Syed Saddiq dikekalkan.

Dalam pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan pecah amanah itu dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, Syed Saddiq didakwa menyalahguna RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, untuk diri sendiri.

Tindakan itu menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini antara 8 dan 21 April 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, Syed Saddiq didakwa membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya. 

Dipercayai hasil aktiviti haram, pemindahan wang tersebut dilakukan di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika disabitkan kesalahan, akta berkenaan memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.

Ketika kesemua kesalaham tersebut dilakukan, Syed Saddiq masih bergelar ketua sayap Pemuda Bersatu atau lebih dikenali sebagai Armada.

Baca juga: “Mahkamah tak bongoklah nak bagi kau RM100 juta!”, giliran Aliff Syukri balas ancaman Diva AA