Faizal Tahir lelong semua piala, kasut dan gitar, rela berkorban untuk bantu golongan ini

Oleh WAN SITI AMINAH

Penyanyi, Faizal Tahir baru-baru ini mencuri tumpuan selepas meluahkan hasrat untuk melelong koleksi peribadi termasuk kesemua piala yang pernah dimenanginya.

Sanggup berkorban harta yang paling disayanginya, Faizal juga akan menjual koleksi bernilai tinggi seperti kasut berjenama dan gitar-gitarnya dalam satu acara lelongan.

Malah, pemilik nama sebenar Ahmad Faizal Muhammad Tahir itu turut ‘melepaskan’ koleksi permainan edisi terhad yang pernah dikumpulnya dalam acara tersebut.

Bukan untuk kepentingan diri sendiri, keuntungan yang diperoleh penyanyi berusia 45 tahun itu bakal disalurkan ke dalam tabung bantuan khusus untuk rakyat Palestin.

Acara lelongan dalam program amal, Faith4Palestine itu dianjurkan pada hari ini (Ahad) oleh gerakan kemanusiaannya, iamFaithmen dan syarikat rakaman, Faithful Music.

Perkara tersebut disampaikan Faizal ketika ditemubual oleh penyampai radio Kool 101, Muaz Mohamed dan Haiza Hanafi menerusi segmen Pagi On Point, pada Jumaat lalu.

Mengundang rasa terharu, rakaman temu bual tersebut turut dikongsikan menerusi satu hantaran yang dimuat naik di platform TikTok milik stesen radio berkenaan.

“Saya akan lelong piala, Insya-Allah. Piala yang pernah dimenang di AJL (Anugerah Juara Lagu) dan AIM (Anugerah Industri Muzik) itu semua. Saya akan lelong gitar kesayangan.

“Banyak sebenarnya. Saya juga lelong kasut yang sangat disayangi dan bernilai tinggi. Sayang sebenarnya, tetapi saya lepaskan demi saudara kita di Palestin.

“Selain itu, ada juga barangan permainan edisi terhad. Siapa yang ikuti saya tahu saya ada banyak koleksi Superman, Iron Man dan Star Wars. Semua saya akan lepaskan untuk Palestin,” katanya.

Barangan tersebut bersedia untuk dilelong kerana Faizal berpendapat bahawa koleksinya itu tidak bermakna sekiranya ia tidak memberi manfaat kepada insan memerlukan.

@kool101my

Piala AJL adalah salah satu barangan yang akan dilelong oleh Faizal Tahir di Mini Showcase Faith 4 Palestine 12 November ini. Fuhhh! Salute Faizal Tahir! Bukan senang nak lepaskan barang-barang yang kita sayang 🥺 Semua ini untuk Palestin! 🇵🇸🫶🏻 #Kool101 #PagiOnPoint #FaizalTahir #AJL #AIM #faith4palestine

♬ original sound – Kool 101 – Kool 101

“Ini kesedaran untuk diri saya bahawa benda-benda yang ada pada saya, bukan saya punya sebenarnya. Sampai bila saya hendak simpan benda macam ini.

“Kadang-kadang kita ‘display’ tengok macam itu sahaja. Tidak digunakan untuk apa-apa kebaikan. Ini datang dari kesedaran yang suatu hari nanti, saya akan mati.” Ulasnya.

Program amal Faith4Palestine itu dianjurkan di Hotel Royale Chulan Damansara pada hari ini (Ahad) dan dijadual akan berlangsung antara jam 2 hingga 4 petang.

Keuntungan dari kutipan tiket Faith4Palestine dan barangan lelongan akan disalurkan kepada tabung bantuan Palestin melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Cinta Gaza Malaysia.

Baca juga: Ini kerja paling senang dalam dunia, kerja cuma tukar mentol dan dibayar RM80,000 sehari!