Guru terkejut budak darjah 5 bawa pen pisau ke sekolah, istighfar dengar alasan muridnya

Oleh WAN SITI AMINAH

Satu rakaman memaparkan seorang guru yang sedang memperlihatkan sebatang pen telah tular di laman media sosial TikTok, baru-baru ini.

Mana tidaknya, alat tulis itu bukanlah pen biasa digunakan untuk menulis tetapi ia sebenarnya adalah pisau bersaiz ‘mikro’ yang boleh mendatangkan kecederaan.

Berdasarkan video berdurasi satu minit 26 saat itu, guru wanita tersebut meluahkan kebimbangannya apabila murid darjah lima berani membawa alatan tajam ke sekolah.

Menurut wanita berkenaan, pen pisau berbahaya itu sebenarnya ditemui oleh suaminya yang turut bertugas sebagai guru di sebuah sekolah rendah tempatan.

Menyangka ianya hanyalah sebatang pen biasa, alangkah terkejutnya suami wanita itu apabila mendapati satu mata pisau tajam keluar dari batang alat tulis tersebut.

Lebih mengejutkan, kanak-kanak yang baru berusia 11 tahun itu mendedahkan pen pisau tersebut digunakan untuk mencederakan badan dengan cara menoreh tangan.

“Ini bukan sebatang pen, tetapi pisau yang dibawa oleh anak murid kami semalam. Astaghfirullahalazim. Semalam suami jumpa dalam kelas murid darjah lima.

“Bila terkejut ia sebenarnya adalah pisau, kami tanyalah kegunaannya. Dia kata untuk toreh tangan. Bayangkan anak darjah lima boleh berfikir seperti itu,” katanya.

Walau bagaimanapun, guru wanita tersebut tidak mengulas lanjut sama ada pen itu digunakan murid bagi mencederakan dirinya sendiri ataupun orang lain.

Tular di media sosial, rakaman tersebut dikongsikan oleh pemilik akaun bernama @arminaaulad menerusi satu hantaran yang dimuat naik di platform TikTok miliknya.

Dalam masa yang sama, guru itu turut mengambil peluang untuk memberi pesanan kepada ibu bapa agar memantau barang yang dibeli dan dibawa anak ke sekolah.

@arminaaulad

Ya Allah. Semoga anak2 kita sentiasa dalam lindungan Allah, menjadi cotoh ikutan terbaik. Semoga kita pun rajin bersembang dengan anak untuk mengetahui perkembangan anak di sekolah. #bismillahjalanterus

♬ Happy Ukulele – TonsTone

“Video ini tidak dibuat untuk menyalahkan mana-mana ibu bapa. Cuma saya mahu mengingatkan kerana kreativiti kanak-kanak zaman sekarang sangat mencabar.

“Saya cadangkan kepada untuk ibu bapa periksa beg sekolah anda seminggu sekali. Untuk pastikan barang-barang yang dibawa tidak berbahaya kepada keselamatan.” Ulasnya.

Untuk makluman, pen pisau tersebut adalah alat tulis yang biasanya digunakan oleh pelajar aliran seni untuk membuat potongan halus atau menghasilkan kraftangan.

Alat tulis itu juga sangat mudah didapati di kedai peralatan seni, premis perkakas rumah dan pelbagai jenis platform beli-belah di atas talian.

Baca juga: “Berhenti sebar spekulasi mengenai rumah tangga kami” – Raf