“Atas isu keselamatan, dia diasingkan”, Najib Razak sambung PhD dalam penjara

Oleh WAN SITI AMINAH

Peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyangkal dakwaan bahawa anak guamnya iaitu Datuk Seri Najib Razak tidak menjalani hukuman dalam penjara.

Bekas Perdana Menteri itu sebaliknya ditempatkan dalam sel penjara yang lebih selamat dan diasingkan daripada banduan lain bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh Shafee ketika diwawancara dalam program bual bicara Podcast Keluar Sekejap yang dimuat naik di laman Youtube, baru-baru ini.

Difahamkan, Tan Sri Muhammad Shafee sering melawat bekas Ahli Parlimen Pekan itu di penjara setiap minggu atau dua minggu sekali selain bertemu di mahkamah.

“Dia dalam penjara. Penjara yang biasa. Tetapi atas isu keselamatan, dia diasingkan. Sebab kalau dia bersama-sama dengan orang lain, apa saja boleh berlaku bukan?

“Hampir setiap minggu (melawat Najib di Penjara Kajang) dan kadangkala dua minggu sekali. Tetapi dalam mahkamah memang kita ada bertemu setiap kali.

“Saya juga cuba duduk bersama untuk makan tengah hari dengan dia supaya boleh bersembang,” katanya dalam program yang dihoskan Khairy Jamaluddin dan Shahril Sufian Hamdan.

Pada masa yang sama, Shafee mendedahkan anak guamnya kini sedang memohon untuk melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD) di dalam penjara.

Jelasnya, sumber bacaan serta rujukan untuk urusan pengajian pula akan dikirimkan sendiri oleh pembantunya dan perlu melalui tapisan pegawai penjara terlebih dahulu.

“Dia sekarang sedang membuat permohonan untuk buat PhD. Saya fikir dia sudah pun mula melakukan beberapa penulisan berkenaan PhD. Saya gembira fikirannya tidak terbiar.

“Saya rasa bahan (bacaan dan rujukan) itu daripada pembantunya yang boleh melawatnya dan bawa buku untuk dia baca. Kena ada tapisan (dari warden penjara).” Ulasnya.

Dalam acara audio siar episod 70 itu, Shafee Abdullah turut membincangkan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang berlaku pada 2006 lalu.

Umum mengetahui, kes pembunuhan ini kembali hangat dibincangkan selepas Koperal Sirul muncul dalam satu wawancara eksklusif bersama Aljazeera English 101 East.

Dalam temu bual tersebut, Sirul membuat pelbagai dakwaan termasuk menerima wang sebanyak RM1 juta daripada sumber tidak dinamakan untuk menutup mulut.

Baca juga: “Polis Gerak Khas pun kena scam” – Abby Abadi hilang hampir RM19k ditipu scammer Telegram