Adira rupanya sudah failkan cerai, Datuk Red didakwa sengaja lambatkan kes

Oleh WAN SITI AMINAH

Dunia hiburan tanah air hari ini dikejutkan dengan khabar keretakan rumah tangga melibatkan penyanyi terkenal iaitu Adira Suhaimi.

Tiada angin tiada ribut, Adira rupanya telah memfailkan permohonan cerai terhadap suami, Datuk Seri Adnan Abu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Rawang.

Permohonan yang dibuat pada 25 Oktober lalu itu adalah kali kedua dilakukan Adira selepas pertama kali memfailkan penceraian terhadap suaminya pada 1 April 2019.

Walau bagaimanapun, permohonan pertama tersebut pernah ditarik semula kerana penyanyi berusia 32 tahun itu mahu memberi peluang dan berbaik demi anak-anak.

Difahamkan, pemilik nama sebenar Siti Adira Suhaimi itu hadir ke mahkamah pada pagi Isnin untuk sebutan kedua kes tersebut bersama kakaknya iaitu Emma Suhaimi.

Emma hadir ke mahkamah selaku wakil Jawatankuasa Pendamai (JPK) dan permohonan dibuat berdasarkan Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Kes permohonan penceraian pelantun lagu Ombak Rindu terhadap suaminya yang kini berusia 44 tahun itu didengarkan di hadapan Hakim Syarie, Abdul Hadi Omar.

Namun begitu, Datuk Seri Adnan yang lebih mesra dikenali sebagai Datuk Red itu tampil seorang diri di mahkamah dan gagal membawa wakil JPK daripada pihaknya.

Oleh yang demikian, Abdul Hadi pada sebutan kes menegur tindakan Adnan yang dianggap sengaja melambat-lambatkan penubuhan JPK daripada dilakukan segera.

Memetik laporan Mstar, Hakim Abdul Hadi terpaksa menangguhkan kes itu pada 18 Disember ini bagi membolehkan Adnan melantik wakil JPK bagi pihaknya.

Untuk makluman, Adira selamat bernikah dengan Adnan yang merupakan ahli perniagaan itu di Selatan Thailand pada 3 Disember 2015 lalu sebagai isteri kedua.

Hasil perkongsian hidup, pasangan tersebut telah dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 6, Asan, 5, Anggun, 4, dan Ayob yang kini berusia satu tahun.

Perkahwinan pertama Adnan dikurniakan lima cahaya mata.

Adnan juga dikhabarkan pernah bernikah pada usia 20 tahun, tetapi bercerai selepas lima tahun bersama dan hasil perkahwinan itu dia dikurniakan dua cahaya mata.

Baca juga: Bunga Citra Lestari dituduh terlalu cepat ‘move on’, ini respon bapa Ashraf Sinclair