“Doktor sahkan aku terkena jangkitan, 6 tahun nikah baru tahu suami ada sisi gelap”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita yang sedang hamil enam bulan merasa tidak sedap hati apabila dirinya dan suami disahkan menghidap penyakit kelamin oleh pakar perubatan.

Mencuba untuk tidak menyalahkan pasangan, situasi malah berubah selepas wanita berkenaan terjumpa sebuah telefon bimbit lama milik suaminya di dalam almari baju.

Kecewanya bukan kepalang, wanita itu merasa teraniaya kerana baru mengetahui sisi gelap suaminya selepas enam tahun melayari bahtera rumah tangga bersama.

Berikut kami kongsikan luahan wanita yang keliru dalam membuat keputusan untuk menentukan masa depannya ekoran mempunyai tiga orang anak bersama suami.

“Aku disahkan hamil selepas tiga bulan berkahwin. Masa usia kandungan enam bulan, aku dapat jangkitan di bahagian kemaluan. Pakar perubatan sahkan aku terkena jangkitan genital herpes. Kata doktor, jangkitan ini berpunca dari hubungan intim atau perkongsian tandas awam (tandas duduk). 

“Aku berpegang kepada pendapat dijangkiti sebab tandas. Aku cerita dengan suami dan periksa gejala jangkitan, dia pun hadapi perkara yang sama. Jadi, kami suami isteri sudah dijangkiti. Cuma tak tahu siapa kena dahulu. Mungkin salah seorang dari kami terjangkiti selepas mengadakan hubungan.

“Menurut doktor, herpes ini akan serang sekali sahaja yang teruk. Sekiranya diserang lagi, jangkitan seterusnya hanya minor. Persakit mungkin tak perasan. Herpes tiada ubat sebab dia memang akan kekal dalam darah. Doktor bagi antibiotik, dalam tujuh hari aku sudah elok seperti biasa. Mulanya setakat itu sahaja.

“Kemudian, aku mengandung lagi ketika masa usia perkahwinan mencecah enam tahun. Aku terjumpa telefon lama suami di dalam almari. Kebetulan pula aku tengah urgent nak guna. Aku buka telefon lama itu. Entah macam mana, tiba-tiba terbuka bahagian kenalan dan jumpa satu nama yang pelik.

“Aku buat carian di internet dan suspek nombor itu dimiliki oleh wanita yang buat kegiatan maksiat. Tiba-tiba masa itu terus teringat kisah yang aku kena jangkitan herpes. Aku mula terfikir yang MUNGKIN suami aku pernah berhubungan sebelum kahwin dan terjangkiti, kemudian dapat pula dekat aku.

“Masa itu aku tak tahu nak rasa apa, nak fikir apa. Aku dah kahwin bertahun. Anak nak masuk tiga baru Allah tunjuk sisi lain suami yang tak pernah terlintas langsung dekat benak fikiran aku. Selama berkahwin, suami aku baik sahaja. Solat macam biasa dan entahlah, aku tak rasa dia pernah curang. 

“Tetapi yang pasti, aku memang bersih dan tidak pernah berhubungan intim dengan lelaki lain selain suami selepas berkahwin. Aku tak pernah beritahu suami mengenai nombor yang dijumpai dalam telefon lama dia. Kalau minta berpisah sekalipun, aku sudah dijangkiti. Hubungan aku dengan suami juga baik-baik sahaja setakat ini.

“Aku cukup kasih sayang. Aku menyayangi suami dan anak-anak. Tetapi risau juga kadang-kadang. Terfikir mungkin itu hanyalah sejarah lama suami yang tidak akan terulang lagi. Tetapi sungguh aku rasa teraniaya. Aku jadi was-was betul ke suami tak curang. Betul ke lepas kahwin dia tak pernah berhubungan dengan orang lain?

“Macam-macam perkara kotor serta negatif yang difikirkan. Kalau tuduh dia pernah buat benda tak baik dibelakang aku, tiada bukti. Entahlah, buntu. Aku cuma berdoa semoga Allah pelihara aku dan keluarga dari sebarang kemudaratan. Hanya pada Allah aku berserah.” Tulis wanita itu menerusi laman luahan di atas talian.

Baca juga: Pilih jadi isteri kedua di usia 19 tahun, Marissa rupanya antara pelajar paling berjaya di Maahad Tahfiz As Sofa