Hukum mencium hajar aswad adalah haram jika perbuatan tersebut menyebabkan masalah, kesakitan atau membahayakan diri sendiri dan juga orang lain.
Berikut adalah respon daripada Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri mengenai satu rakaman yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Menerusi satu hantaran di laman X, Dr Zulkifli tidak menafikan bahawa perbuatan mencium hajar aswad itu merupakan salah satu ibadah begitu juga dengan tawaf.
Bagaimanapun berbeza dengan ibadah tawaf di mana hukumnya adalah wajib untuk dilaksanakan, amalan bagi mencium hajar aswad pula ‘sunat’ dilakukan oleh jemaah.
“Jika sampai menyebabkan masalah, kesakitan kepada diri sendiri dan orang lain, atau membahayakan, hukum mencium hajar aswad adalah haram.
“Cukuplah sekadar berisyarat dengan lambaian dan mencium tangan. Sebagaimana disebutkan oleh Syeikhul Islam Zakariyya al-Ansari,” jelas Dr Zulkifli dalam ciapan itu.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu turut meluahkan rasa kecewa apabila ibadah suci yang dimuliakan, dirosakkan dengan lensa kamera.
Oleh yang demikian, Dr. Zulkifli tampil menasihati orang ramai untuk meninggalkan ‘trend’ memuat naik video menyentuh Kaabah ataupun hajar aswad di media sosial.
“Umrah adalah ibadah, bukan perlancongan ‘kerohanian’. Agak janggal bila ibadah suci dan mulia itu dirosakkan dengan telefon pintar yang diangkat untuk merakam video dan gambar.
“Bukan pada masanya. Saya juga lihat perkembangan mutakhir ini. Ramai memuat naik video sedang menyentuh Kaabah atau hajar aswad di media sosial.
“Jika ia hanyalah sekadar ‘trend’ untuk meraih tontonan ramai, tinggalkanlah ‘trend’ yang merugikan itu.” Kata Dr Zulkifli bagi mengulas lanjut isu yang hangat diperkatakan saat ini.
Terdahulu, seorang usahawan yang juga personaliti media sosial sensasi bertindak berkongsi satu rakaman memaparkan dirinya bersama isteri dan sekumpulan wanita.
Dalam video tersebut, usahawan terbabit menolak dan menjerit ke arah jemaah lain bagi memberi laluan kepada jemaah wanita dibawanya untuk mencium hajar aswad.
Rata-rata pengguna media sosial yang menonton video itu malah mengkritik lelaki terbabit kerana dikatakan tergamak bertindak sedemikian rupa hanya demi ‘content’.
Baca juga: Banyak songeh! ‘Influncer’ minta makan percuma, konon akan promosi di media sosial sebagai bayaran