“Baru tahu Toshiba ada kereta”, ‘peti ais bergerak’ ini curi tumpuan pengguna jalan raya

Oleh WAN SITI AMINAH

Kemunculan sebuah kenderaan berjenama ‘Toshiba’ di jalan raya sekitar Seksyen 13, Shah Alam telah mengundang perbincangan hangat di media sosial baru-baru ini.

Hal ini berlaku selepas seorang pemandu memuat naik rakaman di sebuah jalan raya memaparkan penampakan sebuah kereta berlogo Toshiba di bahagian belakangnya.

Rakaman tersebut telah menimbulkan persoalan di kalangan pengguna media sosial sama ada jenama barangan elektrik daripada Jepun itu turut mengeluarkan kereta.

Bukan itu sahaja, reka bentuk kenderaan itu yang terlihat seperti menyerupai ‘peti ais bergerak’ turut menjadi perbincangan orang ramai yang menonton video berkenaan.

“Baru tahu Toshiba ada kereta. Mungkin ini adalah peti ais yang sebenar,” tulis pengguna jalan raya yang memuat naik video tersebut menerusi akaun TikTok miliknya.

Setakat artikel ini ditulis, video yang mencuri perhatian ramai itu telah berjaya meraih lebih setengah juta tontonan dan 27,700 tanda suka dari pengguna platform TikTok.

Tinjauan di ruangan komen mendapati ramai pengguna memberi makluman bahawa kereta tersebut bukanlah keluaran Toshiba, sebaliknya kenderaan jenis Nissan Cube.

Rupa-rupanya, pemilik kenderaan itu sengaja melekatkan logo syarikat peralatan elektrik tersebut memandangkan struktur kereta terbabit menyerupai reka bentuk peti ais.

Rata-rata pengguna juga berpendapat bahawa kenderaan itu mengingatkan mereka dengan kereta tempatan dihasilkan bersama kerjasama Mitsubishi iaitu Proton Juara.

“Dulu punya teruk Proton Juara kena kutuk. Akhirnya sekarang ramai pula yang cari kereta dengan reka bentuk seperti peti ais bergerak ini,” kata seorang pengguna.

“Kalaulah Proton Juara keluar pada 2024, mungkin berada di pasaran lagi. Sebabnya sama-sama macam bentuk mesin basuh. Proton keluar salah zaman.” Kongsi pengguna lain.

Baca juga: Pemuda gaji RM6k menyesal beli superbike BMW, awal bulan tinggal RM50 gara-gara terikut hobi orang kaya