Seorang perunding kewangan berkongsi kisah bagaimana seorang penjawat awam yang gaji bersihnya hanya RM700, masih membuat permohonan untuk mendapatkan pinjaman peribadi.
Menerusi perkongsian di X, perunding berkenaan tidak dapat menahan rasa terkejut kerana gaji penjawat awam itu agak besar iaitu sekitar RM4,500 sebulan.
Namun penjawat awam itu mempunyai komitmen hutang yang tinggi sebanyak RM3,800 setiap bulan, menjadikan gaji bersihnya hanyalah RM700.
Jika dikira-kira, lebih 90 peratus daripada gajinya habis untuk membayar komitmen bulanan.
Yang membuatkan perunding itu tambah terkejut apabila masih ada individu yang sudah mempunyai hutang yang besar, tetapi masih lagi mahukan pinjaman baharu.
“Ada pekerja kerajaan nak buat pinjaman peribadi. Saya minta butiran terperinci dan sebagainya.
“Ya Allah gaji dia daripada RM4,500 ditolak itu ini tinggal RM700 bersih je nyah. Pemotongan cecah RM3,800. Gila,” ciap wanita itu.
Namun di ruangan komentarnya dia memberitahu bahawa permohonan pinjaman dikemukakan individu tersebut tidak diluluskan kerana gaji bersih tidak mencapai RM2,500.
Pada masa sama, banyak komen yang mendedahkan bahawa kebanyakan penjawat awam mempunyai masalah pengurusan kewangan menyebabkan mereka mudah berhutang.
Ada juga berpendapat kakitangan kerajaan sangat mudah diluluskan permohonan pinjaman, menyebabkan mereka tidak ragu-ragu membuat pinjaman-pinjaman lain.
Mereka turut berkongsi kisah di mana ada penjawat awam yang sanggup membuat pinjaman baharu bagi menutup pinjaman lama yang akhirnya memakan diri sendiri.
Baca juga: Risau santan kotak besar basi sebab tak habis guna? Guna 2 bahan ni confirm’ tahan lama