Nama pengacara, Hana Ismail sering menjadi topik perbincangan hangat akhir-akhir ini terutama sejak suaminya iaitu pendakwah selebriti, Da’i Syed dijatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun dan tiga sebatan atas kesalahan merogol.
Segelintir masyarakat mulanya berkongsi rasa simpati terhadap wanita yang berusia 38 tahun itu berikutan hukuman ke atas suaminya dijatuhkan ketika dirinya berada di dalam keadaan berpantang ekoran baru 16 hari melahirkan anak.
Rasa simpati itu bagaimanapun pudar selepas rakaman lamanya ketika menghadiri sesi ‘podcast’ atau audio siar bersama Da’i Syed kembali tular di platform media sosial X (dahulunya dikenali sebagai Twitter).
Berdasarkan rakaman itu, Hana dan suaminya diminta oleh pengendali podcast iaitu penyanyi rap, Caprice untuk menyampaikan ‘mesej’ buat mangsa rogol pendakwah terbabit yang difahamkan mengalami kemurungan.
Hana kemudian menasihati mangsa agar memaafkan diri sendiri selain menyatakan pendapatnya bahawa tidak semua kejadian yang mereka lalui perlu diceritakan untuk pengetahuan umum.
“Saya nak beritahu dengan dia bahawa kita semua melalui ujian. Saya bersimpati dengan apa yang telah berlaku kepadanya. Cuma saya nak dia faham bahawa tak semua benda dalam dunia, kita perlu beritahu kepada orang.
“Jadi, apa yang perlu kita lakukan ialah berdamai dengan diri sendiri, memaafkan diri sendiri terlebih dahulu dan terima kelemahan serta kelebihan diri,” kata Hana dalam rakaman tersebut.
Pemilik nama sebenar Syed Shah Iqmal Syed Mohd. Shaiful yang tampil bersama di dalam sesi tersebut turut meminta maaf selain meminta mangsa menghadapi hidup dengan tenang dan menganggap dunia sebagai syurga.
Tinjauan mendapati rata-rata pengguna menyelar tindakan kedua-dua personaliti terbabit memberikan ‘nasihat’ yang tidak sensitif dengan keadaan mangsa yang ketika itu sedang mengalami kemurungan.
Ramai juga pengguna menganggap pasangan suami isteri berkenaan terutamanya Hana yang seakan-akan tidak memandang bahawa jenayah rogol itu satu kesalahan serius.
“Kalau tengok balik video ini, tak layak pun nak kasihan dekat isteri dia. Berdamai dengan takdir. Suami anda rogol orang, buat apa nak menangis pula sekarang? Berdamailah dengan takdir kau, kau yang pilih,” kata seorang pengguna.
“Mula-mula kasihan dekat Hana. Tetapi selepas tengok video ini, rasa apa hak dia nak cakap macam itu. Tak akanlah nak mangsa berdiam diri dan biarkan perogol itu tetap nampak suci.” Kesal pengguna lain.
Baca juga: Isteri baru bersalin 16 hari, Da’i Syed menangis teresak dihukum penjara kerana merogol