“Kalau ikut harga bayaran, dah lama saya berhenti berlakon” – Cik Man akui lebih memilih skrip

Oleh MAISARAH AISYA

Kebanyakan pelakon veteran kini lebih memilih kerja lain disebabkan bayaran diterima tidak setimpal pengalaman yang ada.

Sedangkan pelakon baru dibayar lebih mahal walaupun lakonan kaku, muka itu jugalah menghiasi segala drama.

Buat pelakon veteran Kamarool Haji Yusoff atau lebih mesra dengan panggilan Cik Man dia mengakui bayaran diterima sebagai pelakon lama tidak berbaloi lapor Kosmo! Online.

“Kalau ikut harga bayaran dah lama saya berhenti berlakon. Tahun ini sudah 45 tahun saya menjadi anak seni.

“Kalau ada tawaran berlakon pun saya lebih suka pilih watak penampilan khas tetapi meninggalkan impak kepada penonton,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Pada masa sama Cik Man mengakui masih memandu ke Kuala Lumpur dari Kelantan jika ada tawaran berlakon.

“Perjalanan dari Kelantan ke Kuala Lumpur paling lama pun lima jam, paling cepat empat jam.

“Seorang seniman perlu duduk jauh. Ini kerana sepanjang perjalanan ada perkara yang boleh kita fikir sebagai ilham.

“Saya memandu sendiri ke Kuala Lumpur. Saya anggap memandu sebahagian daripada senaman.

“Biarpun ramai yang mempertikai usia sebegini masih mampu ke nak memandu jauh penglihatan masih baik atau tidak,” tambahnya.

Biarpun memiliki rumah di Kuala Lumpur, pelakon berusia 67 tahun itu lebih selesa menginap di hotel.

“Selalunya kalau ada penggambaran di Kuala Lumpur, pihak produksi akan sediakan penginapan. Duit minyak juga disediakan.

“Jadi tiada masalah untuk saya dari segi kos untuk ulang-alik dari Kelantan,” ujarnya.

Memilih watak

Meskipun dihujani pelbagai tawran berlakon, Cik Man lebih memilih watak kerana tidak mahu membawa perwatakan sama.

“Alhamdulillah rezeki dalam bidang lakonan masih ada. Cuma saya agak selektif. Kalau boleh saya tidak mahu melakonkan watak yang sama.

“Saya mencari naskah yang baik seperti karya-karya yang dihasilkan Allahyarham Mamat Khalid atau Aziz M Osman. Sekarang kita kekurangan skrip yang bagus.

“Banyak juga tawaran yang saya tolak. Pada usia sebegini saya lebih suka pilih kerja yang lebih mudah,” ujarnya.

Baca juga: Pernah selamatkan Maya Karin daripada lemas 16 tahun lalu, Saiful Apek kongsi detik cemas