“Lagu zaman sekarang tiada jiwa” – Rahmad Mega imbau lagu lama, lirik meruntun jiwa

Oleh MAISARAH AISYA

Jika dilihat lagu zaman sekarang seolah-olah tiada jiwa malah kadang-kadang liriknya juga entah apa-apa, dengan autotune suara lagi demi tular di media sosial semata.

Jika dilihat lagu zaman dahulu, setiap lirik ada makna tersembunyi bukannya dibuat untuk memenuhi selera anak muda sahaja.

Buat penyanyi Rahmad Mega atau nama sebenarnya Rahmad Tohak, dia melihat lagu kini sebagai tiada jiwa dan ‘rasa’ jika nak dibandingkan lagu lama lapor Gempak.

“Lagu sekarang umpama hanya meniti dibibir tetapi tidak masuk di hati. Kalau kita tengok kenapa lagu dulu-dulu melekat? Sebab sampai dijiwa dan meruntun bila didengar berulang-ulang.

“Bagi saya, peranan lagu itu yang pertama ialah cerita dalam setiap lirik yang kita sampaikan. Sebagai contoh kalau lagu yang pertama kita gabungkan, dia akan jadi kombinasi. Kombinasi ini yang akan jadikan lagu itu terus melekat dalam memori.

“Sebab lagu hari ini contoh lagu Inggeris di Melayukan jadi tak sedap. Mana sedap sangat kita nak dengar.

“Dalam erti kata lain lagu itu kosong, umpama tiada makna pada bait lagu tersebut,” ujarnya seperti dipetik Gempak.

Pada masa sama, penyanyi lagu ‘Bayangan Gurauan’ itu juga berkongsi rahsia awet muda walaupun sudah mencecah 60 tahun.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana masih lagi sihat dan bertenaga pada usia sekarang.

“Sebenarnya, soal penjagaan kesihatan perlu bermula ketika zaman remaja dan bukannya bila jatuh sakit baru nak jaga.

“Pada masa sama, kebanyakan lagu nyanyian saya semuanya bernada tinggi, jadi saya kena sentiasa cergas dan bertenaga supaya dapat beri yang terbaik kepada penonton,” tambahnya.

Baca juga: Pemuda Malaysia tak kisah jadi tukang cuci di Singapura, kini hidup senang gaji lebih RM8,000