Bila usia sudah menginjak lebih 30-an pastinya banyak wanita yang berkahwin menginginkan zuriat sendiri.
Apatah lagi banyak risiko hadir apabila mengandung anak pertama di usia lebih 40 tahun namun masih ada yang mencuba demi cahaya mata.
Begitulah buat pelakon Jue Aziz yang baru sebulan berkahwin dengan pasangan bukan kalangan orang industri hiburan selepas bercerai pada tahun 2019.
Meskipun sudah berusia 41 tahun, dia masih berusaha mendapatkan anak sebelum ibunya menutup mata lapor Kosmo! Online.
“Buat masa sekarang, saya dalam proses mencuba untuk hamil (TTC), memang tak tunggu lama sebab emak saya pun bukan sihat mana.
“Mak selalu cakap dia teruja untuk saya ada anak sendiri, dia sekarang pun sedang sakit, saya pun risau takut apa-apa terjadi.
“Sebab itu saya kahwin cepat-cepat sebab saya mahu luangkan masa lebih banyak bersama mak, jadi senang untuk ke mana-mana,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Disebabkan itu, Jue sangat menitikberatkan waktu suburnya serta meminta doa orang ramai agar dikurniakan rezeki.
“Saya tidak pernah malu untuk minta doa daripada sesiapa untuk cepat hamil sebab dahulu saya tunggu lama tapi tidak berjaya.
“Sekarang saya memang gigih periksa waktu subur dan sesuai hamil sebab saya sudah 41 tahun, kalau lambat takut mak tak sempat tengok.
“Itu yang saya sedih sebab saya seorang sahaja dalam adik beradik yang tiada anak. Ada sekarang ni pun anak angkat,” tambahnya.
Pada masa sama Jue juga mengharapkan suaminya yang dikenali sebagai Ridwan itu adalah jodoh terakhirnya dan perkahwinan mereka berkekalan.
Baca juga: Dapat gaji bulanan sepanjang hayat walaupun tak aktif berlakon, Yusof Haslam kenang jasa A Galak