Youtuber AS nikmati burger ‘special’ Malaysia, sedap sangat sampai nak bayar lebih!

Oleh WAN SITI AMINAH

“Oh Tuhanku, burger ini kelihatan sangat enak. Ia juga dibalut dengan telur. Saya tak pernah lihat menu ini,” kata Youtuber asal Amerika Syarikat, IShowSpeed.

IShowSpeed yang sedang melakukan siaran langsung di akaun media sosial miliknya itu berkata sedemikian ketika melihat peniaga di sebuah gerai tepi jalan menyediakan burger ‘special’ pesanannya.

Difahamkan, Youtuber yang memiliki peminat di serata dunia itu berada di Malaysia sempena siri jelajah sulungnya ke Asia Tenggara selepas mengunjungi Kemboja, Vietnam dan juga Filipina.

Pemilik nama sebenar Darren Jason Watkins Jr itu mulanya ingin menamatkan siaran langsung yang ditayangkan di YouTube sebelum dihujani komen penonton tempatan mencadangkannya mencuba burger Ramly.

Menyahut cabaran tersebut, pemuda berusia 19 tahun itu singgah di salah satu gerai burger tepi jalan yang dipercayai terletak di sekitar Bangsar sebelum memesan menu daging special.

Burger berkenaan kemudian diserahkan kepada pemuda yang mesra disapa Speed itu sebaik sehaja siap disediakan dan hanya dengan gigitan pertama, keenakan hidangan itu jelas terpancar di wajahnya.

Sesi siaran langsung yang dilakukan Youtuber berkenaan juga sempat dirakamkan sebelum dimuat naik semula di pelbagai platform media sosial termasuklah laman X (dahulunya dikenali sebagai Twitter).

Cukup berpuas hati dengan hidangan dinikmatinya itu, Speed juga langsung tidak bertanyakan harga sebaliknya menyerahnya segenggam wang Dolar AS dari poketnya untuk dibayar kepada peniaga.

Selain burger, Speed yang mempunyai 30 juta pengikut di aplikasi Youtube itu sempat berdepan detik cemas ketika mencuba Durian sejurus tiba di Malaysia berikutan terus memasukkan seulas buah ke dalam mulut hingga hampir tercekik bijinya.

Youtuber popular itu turut mencuba beberapa jenis snek tempatan termasuklah keropok segera Mi Mi, Rota, Super Ring sebelum singgah ke restoran milik personaliti media sosial terkenal tanah air iaitu Uncle Rogers.

Sekadar info, IShowSpeed adalah personaliti asal AS yang lahir pada 21 Januari 2005 lalu dan dikenali ramai dengan tingkah laku dramatik sewaktu membuat siaran langsung terutama sekali ketika bermain permainan video.

Baca juga: Penjaja rambo warga asing ‘berkuasa’ di Bukit Bintang, kaut untung RM3k sehari hanya jual bunga