Berang anak dihina berpakaian seperti pelacur, Che Ta buru individu ini sampai ke lubang cacing

Oleh WAN SITI AMINAH

“Aku akan cari sampai ke lubang cacing,” itulah janji pelakon, Rozita Che Wan kepada individu yang mengutuk anak perempuannya berpakaian seperti seorang pelacur.

Pelakon yang lebih mesra disapa Che Ta itu turut tampil membuat laporan polis untuk menjejaki individu terbabit supaya dapat mengheretnya ke muka pengadilan atas perbuatan biadab tersebut.

Berdasarkan hantaran di Instagram Story milik pelakon berusia 51 tahun itu, laporan tersebut dipercayai dibuat di Balai Polis Kota Damansara, Selangor pada petang Khamis.

“Malas cakap banyak, saya serahkan segalanya kepada pihak berkuasa.

“Siapa yang kurang ajar mengata anak saya, awak tunggu. Baik awak benam diri dalam tanah! Kalau tidak pun tunggu. Awak main tahi dengan saya, awak akan kena,” katanya dalam hantaran itu.

Rozita berikrar akan mencari individu yang menghina cara berpakaian anaknya iaitu Aaisyah Dhia Rana sehingga ke lubang cacing walaupun akaun media sosial digunakan untuk membuat hantaran itu sudah dipadam.

Difahamkan, pelakon itu juga turut melaporkan individu berkenaan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) pada pagi Jumaat mungkin untuk mengenal pasti identiti sebenarnya.

“Tiada masalah (akaun Instagram hilang). Saya akan cari sampai lubang cacing. Silap besar cari fasal dengan saya.” Tegasnya dalam hantaran dikongsikan sebelum ini di platform sama.

Terdahulu, Rozita berkongsi kekesalannya apabila seorang pengguna media sosial dikatakan menghina Aaisyah dengan menyamakan cara berpakaian kanak-kanak itu seperti pelacur dan tidak layak menerima wang hantaran tinggi.

Individu berkenaan membuat komen sedemikian selepas sebuah akaun TikTok yang berkongsi satu rakaman video melibatkan Aaisyah bersama kapsyen mengundang salah faham orang ramai.

Dalam rakaman itu, Rozita secara berseloroh menasihati anaknya yang berusia 10 tahun itu untuk mempelajari selok-belok kerja rumah bagi mendapatkan wang hantaran tinggi berjumlah RM900,000.

Baca juga: Jamal tak halang anak keluar belanja untuk sambung belajar, anggap Zaki sudah mampu tanggung diri sendiri