Jamal tak halang anak keluar belanja untuk sambung belajar, anggap Zaki sudah mampu tanggung diri sendiri

Oleh MAISARAH AISYA

Pastinya setiap ibu bapa mahu memberikan yang terbaik buat anaknya termasuklah menanggung perbelanjaan untuk sambung belajar.

Namun di zaman moden ini, ramai anak muda yang sudah berkecimpung dalam kerjaya dan memilih untuk menanggung diri sendiri.

Begitulah buat anak kepada penyanyi Datuk Jamal Abdillah, Zaki Yamani yang memilih untuk mengeluarkan wang sendiri bagi menyambung pengajiannya ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Jelasnya, dia bagaimanapun tidak dimaklumkan bahawa anaknya, Zaki memilih untuk mengeluarkan belanja sendiri lapor Harian Metro.

“Jika nak diikutkan, memang saya yang menanggung pelajarannya sejak kecil lagi.

Tapi sekarang, saya okay sahaja kalau dia sudah ada duit dan tak minta dengan saya untuk sambung belajar.

“Saya gembira bila dia sudah boleh cari rezeki dan tanggung diri sendiri,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Sebagai seorang bapa, Jamal memaklumkan dia memang sudah menyiapkan simpanan untuk semua anak-anaknya namun memahami pilihan Zaki.

“Sebagai ayah, saya memang sudah siapkan simpanan tertentu untuk setiap anak dari segi pendidikan untuk menjamin masa depan mereka.

“Masa mula dapat keputusan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) pun dia tak beritahu saya.

“Kalau dia di bawah jagaan saya 100 peratus, mesti dia beritahu setiap tindakannya itu tapi dia di bawah jagaan ibunya,” katanya.

Tambahnya dia akan sentiasa menyokong minat Zaki malah tidak kisah jika ada pihak mengambil anaknya menyanyi kerana bayarannya lebih mahal.

“Banyak juga orang yang hubungi saya untuk jemput dia menyanyi dan buat persembahan. Saya juga tidak kisah jika pihak yang tidak cukup bajet untuk bayar ‘harga’ saya ambil Zaki.

“Dia anak saya mestilah saya bantu dia untuk dapat undangan persembahan,” katanya.

Baca juga: Mufti Perlis saran guna duit zakat bantu anak, bekas ahli GISBH untuk jalani hidup baru