Parah! Ada ahli GISBH letak anak di rumah anak yatim sampai tak kenal ibu bapa sendiri, demi duit sumbangan

Oleh MALAYSIADATELINE

Semakin hari semakin terbongkat kes melibatkan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).

Terbaru, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mendedahkan kanak-kanak GISBH sudah didoktrin sebagai ‘anak yatim’.

Menurut Harian Metro, Razarudin memaklumkan pihak polis mendapati terdapat kanak-kanak terutamanya bawah 12 tahun yang tinggal di rumah kebajikan GISBH.

Kanak-kanak ini didakwa tidak mengenali ibu bapa mereka yang dalam kalangan ahli malah mereka juga tidak mengaku siapa anak mereka.

“Ada juga ibu bapa kanak-kanak yang kita selamatkan turut ditahan polis. Mereka tidak mahu mengaku mereka (kanak-kanak) anak-anak mereka.

“Ini kerana GISBH juga memaparkan dalam laman web sumbangan untuk ‘anak yatim’ walhal sebenarnya anak-anak ahli, ia adalah satu penipuan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Jadi lebih baik mereka tidak mengaku kerana tidak ada kesalahan itu. Ibu bapa dan kanak-kanak telah didoktrin ini (anak yatim).

Malah ada yang tidak kenal ibu bapa seolah-olah memang anak yatim,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Lebih mengejutkan, Razarudi mendedahkan bahawa ada ahli GISBH yang berpoligami dengan beristeri empat dan mempunyai 34 anak.

“Ada berkahwin empat dan mempunyai 34 anak tetapi ada dua anak duduk dengan dia. Kalau kita tanya apa nama anak pun mungkin dia tidak tahu nama,” tambahnya.

Baca juga: Lepas pengarah eksekutif nafi ada rendaman ‘air berkat’, polis jumpa janggut di premis GISBH