Melihat wajah dan personalitinya yang kelihatan ceria, tiada siapa sangka penyanyi dan penyampai radio iaitu Dina Nadzir menyimpan seribu kesedihan di dalam dirinya.
Pemilik nama sebenar Faradina Mohd Nadzir itu juga mengakui mengalami masalah keyakinan sehingga menyebabkan berat badannya turun dengan begitu mendedak.
Tidak mengamalkan sebarang diet khusus, Dina sebaliknya nekad mengubah gaya hidupnya kepada cara lebih sihat di dalam perjalanan mencari dirinya yang sebenar.
“Ramai orang bertanya kepada saya bagaimana boleh hilang banyak berat badan. Hakikatnya, saya rasa diri tidak cukup baik, tidak cukup cantik, tidak layak dicintai. Perkara itu menyebabkan saya mencuba buat banyak perkara.
“Saya harap perkara itu dapat mengeluarkan diri daripada kebiasaan dan untuk merasa lebih baik. Terutamanya tentang diri saya sendiri. Saya rasa hodoh. Saya rasa diri tidak mempunyai nilai.
“Saya sudah mencapai begitu banyak kejayaan selama 20 tahun dalam industri. Tetapi saya rasa seperti diri ini tidak mempunyai nilai. Saya sangat bencikan diri ketika itu. Jadi saya perlu mencipta semula diri ini” katanya.
Berjaya mencuri perhatian ramai, perkongsian berkenaan dibuat oleh Dina Nadzir menerusi satu hantaran yang dimuat naik olehnya di Instagram Story miliknya, baru-baru ini.
Dina bagaimanapun berjaya juga mencari jalan keluar daripada masalah yang membelenggu hidupnya selama ini dengan melakukan aktiviti pernah dibencinya suatu ketika dahulu.
“Saya mula berhubung semula dengan kawan lama. Cuba mencari ‘AKU’ semula. Saya mula mencabar diri dari segi emosi, mental dan jiwa. Dengan harapan perkara itu akan menyakiti diri lebih daripada apa yang saya rasai ketika itu.
“Sebaliknya, saya menemui perkara baharu yang diri ini suka lakukan. Matahari, laut dan peluh iaitu perkara yang dahulu saya pernah benci. Tetapi kini saya gemar untuk lakukan. Ia juga membantu saya turunkan berat badan.
“Disebabkan saya juga mengalami kemurungan, selera makan juga hilang. Jadi apa yang boleh saya katakan ialah tiada diet khusus. Saya kehilangan berat badan kerana saya sedih.” Akui wanita berusia 39 tahun itu.
Baca juga: Wanita mengadu suami curang dengan pekerja sendiri, respon Fazura undang persoalan