Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan menyalurkan sumbangan sebanyak RM1.5 juta kepada Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).
Ini adalah bagi melaksanakan Program Bantuan Guaman Syarie (BAGUS), khusus untuk membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan pembelaan di Mahkamah Syariah.
Beliau berkata, inisiatif itu memberi tumpuan kepada golongan yang memerlukan seperti ibu tunggal serta individu yang tidak berkemampuan agar mereka tidak tercicir daripada memperoleh akses kepada perkhidmatan guaman dan pembelaan hak.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Kebangsaan Profesion Peguam Syarie Tahun 2026 di Putrajaya yang menghimpunkan hakim, peguam syarie serta pelbagai pemegang taruh dalam ekosistem sistem keadilan syariah negara.
Dalam ucapannya, beliau turut mengimbau pengalaman ketika berkhidmat sebagai Timbalan Menteri bersama Allahyarham Tan Sri Dr Ahmad Mohamad Ibrahim dalam Badan Perunding Islam bagi memperkukuhkan kedudukan Mahkamah Syariah di Malaysia.
Menurut beliau, usaha mengangkat martabat institusi Mahkamah Syariah bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan penguasaan mendalam terhadap undang-undang syariah dan sivil.
Khususnya dalam usaha mencadangkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan berkaitan kedudukan Mahkamah Syariah.
Beliau berkata, perjuangan memperkukuhkan sistem keadilan syariah merupakan satu proses yang panjang dan memerlukan kefahaman, hikmah serta kesabaran.
“Kita mempunyai hujah yang kuat untuk meningkatkan kedudukan undang-undang syariah.
“Namun ia perlu disertai dengan penjelasan yang tuntas kepada masyarakat bukan Islam bahawa usaha tersebut tidak menjejaskan urusan agama mereka,” katanya.
Anwar berkata, bantuan guaman yang lebih mudah diakses adalah antara aspek penting dalam memastikan keadilan dapat dinikmati oleh semua pihak.
Jelas beliau, ia selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan, kesejahteraan dan keadilan sosial.
Baca juga: PM Anwar minta ulama besar Gambia doakan kesejahteraan rakyat, keamanan Malaysia