Perbandingan suhu antara United Kingdom (UK) dan Malaysia menjadi perbualan hangat di Threads selepas satu hantaran berseloroh tentang orang Eropah yang tidak boleh tahan panas walhal suhu di negara itu baru mencecah 35 darjah Celsius.
Dibandingkan dengan Malaysia, rakyat Malaysia dikatakan lebih tenang dan santai kerana sudah terbiasa dengan suhu sekitar 37 darjah Celsius.
“UK cecah 35° habis kecoh satu negara. Kita 37° sepanjang tahun rileks je,” tulis pengguna hafizalazim69.
Pun begitu, di ruangan komen, terdapat banyak info berguna yang dikongsikan rakyat Malaysia yang menjelaskan bahawa pengalaman cuaca panas di negara empat musim itu berbeza daripada di Malaysia kerana faktor infrastruktur, reka bentuk kediaman dan tahap penyesuaian penduduk terhadap iklim.
Menurut mereka, kebanyakan rumah di UK dibina untuk memerangkap haba bagi menghadapi musim sejuk yang lebih panjang, menyebabkan bahagian dalam rumah menjadi sangat panas ketika gelombang haba melanda.
Selain itu, kebanyakan kediaman di negara tersebut tidak dilengkapi kipas siling atau sistem penyaman udara kerana cuaca panas melampau bukanlah keadaan yang lazim berlaku.
Seorang pengguna berkata, keadaan itu menyebabkan udara di dalam rumah sukar disejukkan, malah kipas berdiri yang digunakan hanya meniup udara panas ketika suhu meningkat.
Dalam masa sama, ada juga yang berpendapat sinaran matahari ketika musim panas di UK terasa lebih terik sehingga memberi kesan seperti ‘membakar kulit’, berbeza dengan pengalaman mereka di Malaysia.
Mereka turut mengingatkan agar orang ramai tidak membuat perbandingan berdasarkan bacaan suhu semata-mata kerana setiap negara mempunyai iklim, infrastruktur dan tahap kesediaan yang berbeza dalam menghadapi cuaca panas.
Mereka berpendapat, suhu yang sama tidak semestinya memberikan tahap ketidakselesaan yang sama, terutama apabila sesebuah negara tidak direka untuk berdepan gelombang haba yang berpanjangan.
“The panas in the UK isn’t the same as in Malaysia. Yang duduk sini je akan faham. The infrastructure isn’t meant for super hot days. The houses here retain heat, unlike houses in Malaysia. Ceiling fan pun tak ada, standing fan pun kadang most of them blowing hot air so yeah. Also, panas sini terik yang bakar kulit, unlike in Malaysia,” kata seorang pengguna Threads yang menetap di UK.
“Panas sini panas lain, jenis yang tarik kulit. Plus infrastructure atau rumah-rumah dekat sini were built to trapped heat, because musim sejuk panjang from bulan 9 sampai ke bulan 5 sejuk.
“And they grew up with 4 seasons, and they are all used to musim sejuk. Awak datang sini dulu dan cuba, tengok awak tahan ke tak. Malaysia semestinya lah rileks sebab infrastructure kita were built untuk elak panas, dan semua guna penghawa dingin. Jangan main cakap if you’ve never been in someone shoes before,” kata pengguna lain.
Baca juga: PM Anwar minta ulama besar Gambia doakan kesejahteraan rakyat, keamanan Malaysia