Zara Zya nafi ‘simpan barang’ jadi punca gangguan mistik, harap orang ramai tak taksub

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon, Zara Zya menyangkal dakwaan ada ‘menyimpan barang’ hingga dikatakan menjadi punca dirinya mengalami gangguan mistik atau makhluk halus.

Menerusi satu hantaran di platform Threads, Zara Zya turut meluahkan rasa terkilan ekoran dakwaan seperti itu boleh mengundang spekulasi dan fitnah terhadap dirinya.

Pemilik nama sebenar Zainurul Razia Mohd Zainuddin itu turut memohon orang ramai untuk tidak terlalu taksub dengan kisah seram mistik yang dikongsinya, baru-baru ini.

“Komen (dakwaan) sebegini menyedihkan saya. Kerana boleh mengundang pelbagai spekulasi dan juga fitnah terhadap saya. Janganlah anda semua begitu taksub dan memandai mandai seperti ini.

“Wallahi saya tidak pernah menyimpan apa-apa barang seperti yang dikatakan,” akui Zara dalam perkongsian di platform Threads itu untuk menyangkal spekulasi mengenai gangguan dialaminya.

Terdahulu, seorang pengguna media sosial yang mendakwa mahu membantu Zara tampil memberikan cadangan kepada pelakon itu untuk membuang ‘barang mistik’.

Menurut individu terbabit, barang mistik seperti pakaian dan pinggan mangkuk yang didakwa disimpan oleh Zara adalah punca pelakon terbabit diganggu makhluk halus.

Bukan itu sahaja, individu sama turut mendakwa menerima ‘ilham’ bahawa pelakon terbabit menyimpan botol lama hingga boleh menyebabkan perkara tidak diingini berlaku.

Dalam hantaran sama, Zara turut menegaskan bahawa kehadirannya di dalam sesi audio siar atau ‘podcast’ Disebalik Misteri itu hanyalah bertujuan untuk berkongsi pengalaman hidup.

“Bawa bertenang. Saya sakit ini bukanlah sehari dua. Lebih dari 10 tahun. Di dalam tempoh itu, sudah semestinya saya pergi berubat sana sini juga. Pokok pangkalnya, saya hanya menceritakan serba sedikit tentang pengalaman dalam hidup.

“Jadi tak perlulah nak buat andaian atau berfikir teruk-teruk itu ini. Saya juga peliklah dengan begitu banyak cerita mistik yang timbul setelah menonton ‘podcast’ tersebut. Wallahualam.

“Saya juga sudah semakin membaik dengan izin Allah SWT. Insya-Allah.” Dedah pelakon berusia 39 tahun itu kepada para pengikutnya dengan harapan tiada lagi sebarang spekulasi timbul selepas ini.

Baca juga: Penat jadi ‘penyondol’, Julia Farhana idamkan watak lain lepas bergelar isteri